
SARATOK — Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas dipercayai mendatangkan kecederaan terhadap isterinya menggunakan kepingan jubin dalam satu kejadian di Kampung Melango Lama, Saratok pada 24 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek berusia 47 tahun itu ditahan oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok di Kampung Melango Lama.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa yang bekerja sebagai peniaga sedang berada di kediamannya sebelum berlaku pertengkaran antara pasangan berkenaan.
“Akibat terlalu marah dan berlaku perselisihan faham, suspek dipercayai memukul mangsa menggunakan kepingan jubin sehingga menyebabkan jubin tersebut pecah dan mangsa mengalami kecederaan di bahagian dahi sehingga berdarah.
“Mangsa kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan mendapatkan rawatan di Hospital Saratok, manakala laporan perubatan turut dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan.
Mathew menambah, suspek mengaku sengaja mencederakan isterinya dengan memukul menggunakan kepingan jubin di bahagian kening mangsa.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham apabila suspek mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain,” katanya.
Suspek turut mengaku berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian selepas mengambil bahan terlarang beberapa jam sebelum insiden berlaku.

Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine selain mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah.
Polis turut merampas empat kepingan pecahan jubin dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.





