
KOTA SAMARAHAN – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menzahirkan rasa berpuas hati dengan kualiti penyiapan projek INTAN Leadership Development Park (I-LEAD) di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Sarawak (INSARA).
Beliau menyifatkan kualiti kerja kemasan yang dipamerkan bagi projek tersebut sebagai sangat kemas dan memuaskan berbanding ketika lawatan tinjauannya ke tapak berkenaan pada Mac lalu.
“Saya pernah datang ke sini pada Mac lalu dan ada membuat banyak teguran.
“Namun, nampaknya segala teguran tersebut telah diambil tindakan dan kerja disiapkan dengan elok,” katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian mercu tanda baharu INSARA tersebut pada Rabu.
Mengulas mengenai peranan fasiliti berimpak tinggi itu, Shamsul Azri menegaskan bahawa ia direka khusus untuk membina ketahanan mental, memantapkan daya saing diri serta memupuk semangat kerja berpasukan yang utuh dalam kalangan penjawat awam.
Tambahnya, pembinaan karakter jentera kerajaan yang bersatu padu perlu disemai bermula daripada peringkat unit serta seksyen terkecil berlandaskan prinsip bermula secara kecil-kecilan namun merangkumi secara menyeluruh.
Menyentuh mengenai proses pembinaan, beliau memaklumkan bahawa projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak itu pada mulanya berdepan lanjutan masa selama enam bulan berikutan beberapa isu teknikal.
Jelasnya, perbelanjaan pembinaan kemudahan tersebut dianggarkan mencecah sehingga RM3.5 juta jika mengambil kira jumlah kos perundingan profesional, manakala dokumen rasmi merekodkan kos keseluruhan projek berjumlah RM3.01 juta.
Pembangunan fasiliti berkenaan berjaya direalisasikan dengan kelengkapan sebuah bangunan utama yang dikenali sebagai Incube berserta 11 elemen latihan luaran mencabar seperti luncur keluang sepanjang 170 meter.
Foto: Facebook Shamsul Azri bin Abu Bakar





