PAS mungkin satu-satunya parti politik di negara ini yang gemar mengulangi episod drama bersiri di mana peristiwa lampau menempatkan Pas sebagai parti yang lahir pada 24 November 1951 hasil tantangan terhadap kehendak tidak dipenuhi.
Di sebalik dominan pentadbiran Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah serta sesekali Perlis, parti itu yang pada dekad 1950-an dan 1960-an berkembang di kawasan luar bandar khususnya negeri dominasi Melayu selalu mahu menjadi berbeza dengan mahu dipandang dan menjadi bahan bualan, tidak kira dipuji atau dicerca.
Pas pernah menyertai kerajaan campuran bersama UMNO bermula 1973 dan membentuk Barisan Nasional (BN) pada 1974 sebelum konflik mengakhiri kerjasama pada 1977 selain pernah bersama Parti Semangat 46 (S46) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada 1990; Barisan Alternatif (BA) bersama Keadilan, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada 1999; Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP pada 2008; Gagasan Sejahtera bersama Ikatan dan Berjasa pada 2016, sebelum lahirnya Perikatan Nasional (PN) pada 2020 bersama Bersatu.
Terkini, Pas berbalah dengan Bersatu dan mengambil alih kepengerusian PN, berganding dengan Parti Wawasan Negara diterajui Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menjadi watak antagonis Bersatu, malah kembali dinamakan sebagai Ketua Pembangkang. Sikap parti itu seolah-olah memiliki sisi ketagihan dalam menggapai badai, menguji pantai.
Kerjasama Pas dengan pelbagai pihak, terutama menjelang pilihan raya, seolah-olah menampakkan parti itu terbuka menerima sesiapa juga, namun tetap dikekang batasan suara mutlak kuasa atasan kerana setiap keputusan parti diambil dengan restu Majlis Syura Ulama sebagai badan pembuat dasar tertinggi parti sebelum mendapat lampu hijau daripada Presiden.
Itu yang lebih penting dijaga sebagai taruhan untuk kekal relevan, berbanding politik peluang diamalkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana sekuat mana sekalipun gabungan dibentuk, Pas tetap terikat dengan ‘wahyu’ Majlis Syura Ulama dan Presiden tanpa ruang kompromi
Perkara itu dibuktikan bagaimana Tan Sri Abdul Hadi Awang membuatkan keputusan Pas bercerai dengan Bersatu serta menggunakan logo PN tanpa pengetahuan majlis tertinggi gabungan tersebut walaupun pengumuman itu dihadiri oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang seolah-olah hanya menjadi boneka di majlis terbabit.

Ironinya, logo PN dibina ketika Bersatu berada di puncak pengaruh, di mana parti itu berjaya mengangkat jenama tersebut sebagai wajah baharu pembangkang selepas pergolakan politik negara, menjadikannya simbol penyatuan parti-parti Melayu dan identiti yang dibawa ke medan pilihan raya. Dalam erti kata lain, PN ialah jenama yang dibesarkan oleh Bersatu.
Namun politik tidak pernah statik, malah, kekuatan sesebuah parti tidak diukur pada siapa mencipta sesuatu jenama, tetapi siapa mempunyai kemampuan mempertahankannya dan di sinilah Pas semakin selesa memainkan peranan sebagai ‘abang besar’, berbekalkan kekuatan organisasi tersusun, jentera akar umbi serta penyokong kekal setia memberi kelebihan kepada Pas yang tidak mudah disaingi oleh parti-parti komponen dalam PN.
Perkembangan mutakhir sekaligus menampakkan Pas tidak bergantung kepada Bersatu untuk survival politik, tetapi sebaliknya. Bersatu lebih memerlukan Pas untuk pergantungan gerak kerja. Tanpa jentera Pas, sukar untuk PN mengekalkan kekuatan di banyak kerusi Melayu yang menjadi nadi kepada survival gabungan berkenaan.
Atas sebab itu, perebutan terhadap logo PN tidak harus dibaca sebagai soal siapa berhak menggunakan lambang semata-mata, namun manifestasi kepada perebutan kedudukan susulan dalam politik, pihak yang menguasai simbol lazimnya mahu menguasai naratif dan apabila berjaya dikuasai, pengaruh akan bergerak mengikutinya.
Bagaimanapun, sejarah juga mengajar bahawa setiap gabungan mempunyai had toleransinya dan dominasi terlalu ketara oleh satu pihak sering menjadi benih kepada keretakan yang sukar dipulihkan berikutan dalam sebuah gabungan, kepimpinan juga memerlukan kesediaan berkongsi ruang dan menghormati keseimbangan walaupun politik menuntut kepimpinan.
Dengan Pas, tiada apa yang perlu dihairankan mahupun mengejutkan. Apa sekalipun lambang atau dogmanya, Pas adalah parti politik dan politik itu sifatnya sentiasa mencari kuasa.
Pas tidak betah berbahagi kuasa untuk tempoh panjang. Sejarah menjadi saksi Pas amat kerap ‘tidur sebantal’ dengan pasangan bersilih-ganti.
Mimpinya kekal berbeza, kemahuannya cuma berkongsi bumbung sebelum mencari hentian seterusnya. Mungkin itu hakikat terbesar yang terlepas daripada pandangan Pas, mimpi akan berakhir sebaik mata dibuka.
Politik jarang memihak kepada bidak yang terlalu laju geraknya.




