
MIRI – Penubuhan Pusat Media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bertujuan memudahkan pengamal media mendapatkan maklumat serta membuat liputan mengenai aktiviti dan program calon yang bertanding sepanjang tempoh kempen pilihan raya.
Menurut Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi, Abdullah Izhar Mohamed Yusof, kemudahan itu disediakan sebagai platform kepada pengamal media, khususnya media tempatan yang bukan sahaja membuat liputan di sekitar Miri, malah turut merangkumi kawasan berdekatan seperti Baram, Lambir dan Sibuti.
Menurutnya, Pusat Media berkenaan membolehkan pengamal media mendapatkan maklumat berkaitan kawasan-kawasan yang terlibat dalam PRN Sarawak, termasuk perkembangan kempen di kawasan Parlimen Miri yang menyaksikan beberapa calon bertanding.
“Kemudahan ini juga diharap dapat membantu media memperoleh maklumat mengenai aktiviti, program dan perkembangan semasa sepanjang tempoh berkempen.
“Saya berharap semua pengamal media dapat memberikan komitmen serta memainkan peranan masing-masing dalam menyampaikan informasi berkaitan PRN Sarawak kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan ke pusat media di Miri, hari ini.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat terkini mengenai perkembangan kempen pilihan raya, termasuk di kawasan bandar dan pedalaman Sarawak.



