
KUALA LUMPUR – Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) berjaya menyalurkan notifikasi ujian hampir serentak ke seluruh negara, termasuk di Padang Besar, Perlis serta Pulau Sebatik dan Tawau di Sabah, hari ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, maklum balas penerimaan notifikasi itu diperoleh secara langsung menerusi sesi bersama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Jabatan Penerangan ketika ujian serentak dilaksanakan.
Menurutnya, sebaik sahaja arahan penghantaran dibuat, notifikasi amaran yang sama diterima hampir serentak di lokasi yang memberikan maklum balas.
“Selepas saya menekan ‘confirm’ untuk menghantar keluar mesej ujian itu, hampir serentak seluruh negara mendapat maklumat amaran yang sama,” katanya kepada pemberita selepas sesi ujian MySiren di Markas SMART, Puchong, hari ini.

Fahmi berkata, notifikasi ujian kali ini disampaikan dalam dua bahasa, iaitu bahasa Melayu dan Inggeris, namun sistem berkenaan turut berupaya menyalurkan amaran dalam bahasa lain berdasarkan keperluan dan cadangan.
Jelasnya, MySiren menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan amaran disalurkan terus ke telefon bimbit dalam kawasan liputan pemancar tanpa menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) atau mengumpul maklumat peribadi pengguna.
Beliau berkata, sistem itu beroperasi 24 jam sehari dan boleh dimanfaatkan untuk menyampaikan amaran kecemasan, khususnya ketika Monsun Timur Laut yang berisiko menyebabkan banjir.
Antara kegunaan segera ialah memberi amaran kepada penduduk berhampiran sungai apabila paras air meningkat melepasi tahap bahaya.
“Bencana boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya sambil menjelaskan bunyi amaran yang kuat direka untuk menarik perhatian pengguna, termasuk ketika mereka sedang tidur pada waktu malam.
Dalam pada itu, Fahmi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengemas kini perisian telefon bimbit masing-masing bagi memastikan peranti berupaya menerima notifikasi MySiren.
Beliau turut menegaskan orang ramai tidak perlu memuat turun sebarang aplikasi khusus untuk menggunakan sistem berkenaan.
“Kita tidak perlu download (muat turun) aplikasi MySiren. Tak ada aplikasi pun,” katanya.
MySiren mula beroperasi pada 19 November lalu, diikuti ujian bersama ahli Parlimen pada 23 November sebelum ujian serentak di seluruh negara dilaksanakan hari ini.


