KERAJAAN digesa menutup segala ruang ketirisan, membanteras rasuah dan membawa individu yang mencuri wang rakyat ke muka pengadilan sebelum mempertimbangkan cadangan mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, cadangan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya GST diperkenalkan semula perlu dinilai secara menyeluruh, bukannya hanya berdasarkan potensi peningkatan hasil kutipan kerajaan.
Beliau berkata, meskipun GST mempunyai kelebihan dari sudut mekanisme kutipan cukai dan mampu memperluas asas hasil negara, persoalan lebih besar ialah jaminan bahawa wang tambahan yang dikutip daripada rakyat akan diuruskan dengan amanah.
Menurutnya, masalah negara bukan semata-mata kekurangan hasil, sebaliknya turut berpunca daripada ketirisan, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kelemahan tadbir urus.
“Jika lubang kebocoran tidak ditutup, menambah hasil kutipan ibarat menambah air ke dalam tangki yang bocor. Air bertambah, tetapi kebocoran juga terus berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata, kerajaan sepatutnya mengutamakan usaha menutup ruang ketirisan, memperkukuh penguatkuasaan dan membanteras rasuah sebelum memikirkan cukai baharu yang berpotensi menambah beban rakyat.
Malah, beliau menegaskan individu yang mencuri wang rakyat perlu ditangkap dan dihukum mengikut undang-undang, bukannya diberikan perlindungan atau keistimewaan sehingga menimbulkan persoalan mengenai prinsip keadilan.
Mengulas lanjut, beliau turut membangkitkan isu pengampunan, pengurangan hukuman dan pelaksanaan tahanan di rumah yang menurutnya tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk melupakan tuntutan akauntabiliti terhadap jenayah kewangan.
Dalam pada itu, Mahfuz mengingatkan UMNO dan MCA bahawa GST pernah dilaksanakan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada 2015 sebelum dimansuhkan pada 2018.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan rasional kedua-dua parti berkenaan mahu mengembalikan sistem cukai tersebut dan menuntut penjelasan mengenai langkah memperbaiki kelemahan pelaksanaan terdahulu.
Katanya, hujah bahawa sebanyak 175 negara menggunakan GST juga tidak boleh dijadikan alasan mutlak kerana setiap negara mempunyai struktur ekonomi, tahap pendapatan dan kemampuan rakyat yang berbeza.
“Setiap negara mempunyai keadaan tersendiri. Kita perlu membina sistem percukaian berdasarkan kemampuan rakyat Malaysia, bukan sekadar mengikut amalan negara lain,” katanya.
Lebih pedas, Mahfuz menggunakan perumpamaan ayam dalam reban yang sering dicuri bagi menyindir cadangan menambah kutipan cukai tanpa terlebih dahulu menyelesaikan masalah ketirisan.
“Kalau ayam dalam reban selalu dicuri, tuan rumah sepatutnya menangkap pencuri dan membaiki pagar. Bukan menyuruh isteri membeli lebih banyak ayam supaya reban sentiasa penuh.
“Apatah lagi jika musang yang diberikan kuasa menjaga dan mengawal reban ayam,” katanya.
Beliau turut memberi amaran supaya Malaysia tidak kembali kepada era kleptokrasi dengan menyindir pihak yang mahu melaksanakan GST ketika masih wujud persoalan mengenai integriti dan pengurusan wang negara.
Bagaimanapun, Mahfuz menegaskan beliau menyokong usaha meningkatkan hasil negara, tetapi langkah itu mesti seiring dengan peningkatan integriti, kecekapan dan akauntabiliti kerajaan.
“Saya menyokong penuh usaha Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memerangi rasuah dan menutup ketirisan untuk menjamin kesejahteraan rakyat.
“Jangan jadikan rakyat sebagai mesin ATM kerajaan, sedangkan kerajaan belum selesai membersihkan mereka yang menjadikan wang negara sebagai ATM peribadi,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan kerajaan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah wang yang berjaya dikutip daripada rakyat, sebaliknya sejauh mana wang negara dapat diselamatkan daripada ketirisan dan dikembalikan untuk kesejahteraan rakyat.
“Negara tidak akan menjadi kaya hanya kerana kerajaan pandai mengutip cukai. Negara menjadi kuat apabila wang rakyat diurus dengan amanah, rasuah diperangi dan undang-undang dilaksanakan tanpa pilih kasih,” katanya.



