Parlimen bakal main peranan lebih besar, semak calon Pendakwa Raya melalui JKPKP

KUALA LUMPUR – Parlimen dijangka memainkan peranan lebih besar dalam sistem perundangan negara menerusi cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPKP) bagi meneliti dan mengemukakan syor terhadap calon Pendakwa Raya sebelum pelantikan dibuat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan itu merupakan antara hasil penelitian Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya (JKPK).

Beliau berkata, langkah berkenaan bakal mencatat sejarah baharu apabila Parlimen diberi ruang untuk terlibat secara langsung dalam proses pelantikan Pendakwa Raya.

“JKPK juga bersetuju bahawa setelah dimaklumkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) mengenai senarai calon Pendakwa Raya, JKPKP yang ditubuhkan akan memberikan ulasan meliputi penilaian dan syor sama ada untuk mengesyorkan atau tidak terhadap mana-mana calon dikemukakan.

“Sebarang isu berkaitan kerahsiaan calon akan diputuskan JKPKP berdasarkan perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata, pembaharuan itu memperlihatkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan prinsip semak dan imbang dalam pentadbiran negara.

Menurut beliau, penglibatan Parlimen dalam proses berkenaan akan dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta tidak menjejaskan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai pihak yang membuat pelantikan berdasarkan nasihat yang ditetapkan.

“Dalam hal ini, Parlimen akan menetapkan tatacara pelaksanaan peranannya dalam proses pelantikan Pendakwa Raya dan prosedurnya sendiri selaras dengan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

“Perincian lanjut mengenai tatacara pelantikan termasuk cara pemakluman akan dibuat kepada Parlimen dan cara pemberian ulasan oleh Parlimen sebelum SPKP memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong akan diperuntukkan melalui undang-undang Persekutuan.

“Dari segi pelaksanaannya, mekanisme pembabitan Parlimen akan digerakkan melalui penubuhan JKPKP di bawah Peraturan-peraturan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi meneliti senarai calon Pendakwa Raya,” katanya.

Beliau berkata, usaha memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya merupakan antara reformasi institusi paling penting yang sedang dilaksanakan kerajaan dan memerlukan penelitian menyeluruh.

Katanya, proses itu turut mengambil kira pandangan pelbagai pihak menerusi JKPK yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang bagi memastikan cadangan yang dikemukakan bersifat inklusif serta memenuhi keperluan sistem perundangan negara.

“Saya berharap semua Ahli Parlimen daripada kerajaan mahupun pembangkang dapat bersama menyokong usaha reformasi institusi ini.

“Reformasi ini bukan mengenai mana-mana pihak, tetapi mengenai kepentingan negara kita. Semoga usaha murni Kerajaan MADANI ini dapat memperkukuh institusi negara, menegakkan kedaulatan undang-undang dan memberi manfaat kepada rakyat dan generasi akan datang,” katanya.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 berhubung pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 23 Februari lalu sebelum dirujuk kepada JKPK selepas bacaan kali kedua pada 3 Mac untuk penelitian lanjut.

RUU berkenaan dijangka dibentangkan semula pada persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.

Related Posts

Maritim Malaysia pintas bot PATI, 28 ditahan

KANGAR – Cubaan membawa masuk sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) gagal selepas bot gentian kaca yang dinaiki mereka terkandas ketika air surut di perairan Pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Bahasa Inggeris, AI antara fokus kerjasama pendidikan Malaysia-Singapura

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Singapura berusaha memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan menerusi pelbagai inisiatif termasuk peningkatan penguasaan bahasa Inggeris, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pertukaran guru. Menteri Pendidikan, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

BABSAR 2026 platform gilap bakat seni belia Sabah – Mustapha

BABSAR 2026 platform gilap bakat seni belia Sabah – Mustapha

Pendang, Kuala Krai catat kes dadah tertinggi negara

Pendang, Kuala Krai catat kes dadah tertinggi negara

Sukan bukan sekadar untuk kesihatan, wadah pupuk perpaduan – Hasbi

Sukan bukan sekadar untuk kesihatan, wadah pupuk perpaduan – Hasbi

TBS Daro santuni lima keluarga asnaf menerusi Program Baitulmal Sinergi

TBS Daro santuni lima keluarga asnaf menerusi Program Baitulmal Sinergi

Setiap daerah perlu bangunkan produk pelancongan tersendiri – Hajiji

Setiap daerah perlu bangunkan produk pelancongan tersendiri – Hajiji

Semangat ‘berderau’ angkat nilai kerjasama komuniti FELDA Jengka 24

Semangat ‘berderau’ angkat nilai kerjasama komuniti FELDA Jengka 24