
KUALA LUMPUR – Malaysia dan Singapura berusaha memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan menerusi pelbagai inisiatif termasuk peningkatan penguasaan bahasa Inggeris, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pertukaran guru.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, hubungan baik antara kedua-dua negara perlu dimanfaatkan bagi membuka lebih banyak peluang kepada murid dan guru.
“Antara perkara yang diberi tumpuan ialah usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid menerusi Malaysia–Singapore English Volunteers Programme (MSEVP).
“Kedua-dua negara turut membincangkan program pertukaran guru Bahasa Melayu bagi membolehkan mereka berkongsi pengalaman serta kaedah pengajaran yang berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan Singapura, Desmond Lee bagi membincangkan beberapa bidang kerjasama pendidikan antara kedua-dua negara.
Perbincangan turut merangkumi penggunaan AI dalam pendidikan, termasuk perkongsian pengalaman Malaysia melalui platform pembelajaran digital Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).
Dalam perkembangan sama, Malaysia dan Singapura turut berhasrat memperkukuh program jaringan sekolah bagi memberi peluang kepada murid mengenali budaya serta mengikuti aktiviti pembelajaran bersama rakan dari negara jiran.
Beliau berkata, setiap negara mempunyai kekuatan tersendiri dalam bidang pendidikan yang boleh dikongsi dan dipelajari demi meningkatkan kualiti sistem pendidikan.
“Paling penting, kerjasama ini mesti membawa manfaat kepada guru yang mengajar dan anak-anak yang belajar,” katanya.


