
JERANTUT – Ketika budaya gotong-royong atau ‘berderau’ yang menjadi lambang semangat tolong-menolong masyarakat tradisional semakin terhakis ditelan arus kemodenan, peneroka FELDA Jengka 24 tampil menghidupkan kembali nilai kebersamaan itu sebagai identiti komuniti mereka.
Bukan sekadar mengangkat gendang Pahang, seni silat, tari piring dan nyanyian lagu tradisional sebagai warisan negeri, tanah rancangan itu turut mahu menonjolkan semangat berderau yang menyatukan peneroka dalam kehidupan seharian.
Pendekatan itu menjadi antara pengisian utama sempena penilaian Anugerah Kecemerlangan Rancangan FELDA yang akan berlangsung pada 4 November ini.
Ia sekali gus memperlihatkan keunikan FELDA Jengka 24 yang bukan sahaja membangun dari segi fizikal, malah berusaha mengekalkan nilai kemasyarakatan sebagai kekuatan komuniti.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, pengisian berteraskan seni dan budaya itu bukan sekadar untuk memeriahkan sambutan, sebaliknya menjadi platform memperkenalkan warisan tradisi Pahang dan keistimewaan hidup bermasyarakat peneroka.
Menurutnya, budaya ‘berderau’ yang berasaskan semangat kerjasama dan saling membantu perlu terus dipelihara agar tidak hilang dalam arus kehidupan generasi masa kini.
“Semangat itu suatu ketika dahulu menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat tradisional apabila penduduk berganding bahu menyiapkan kerja, membantu jiran yang ditimpa kesusahan dan menjayakan aktiviti kampung tanpa mengharapkan balasan.
“Bagaimanapun, perubahan gaya hidup hari ini menuntut usaha berterusan untuk memastikan budaya tolong-menolong itu terus subur, khususnya dalam kalangan generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan komuniti,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, pengisian seni tradisional dan semangat kebersamaan yang diketengahkan diharap dapat mengukuhkan hubungan sesama peneroka, selain memperkenalkan identiti budaya rancangan itu kepada masyarakat luar.
FELDA Jengka 24 turut mempunyai sejarah tersendiri apabila seramai 292 peneroka menerima suratan hak milik tanah pada Januari 2024 selepas menunggu hampir 40 tahun.
Majlis bersejarah itu disempurnakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang turut menyerahkan kelulusan Skim Tanah Rakyat Generasi Baharu FELDA.
Pada majlis sama, kerajaan negeri meluluskan peruntukan hampir RM1 juta bagi membaiki dan menaik taraf kemudahan infrastruktur di rancangan itu termasuk jambatan, tandas masjid, bumbung sekolah agama, padang bola serta pembinaan dewan terbuka.
Bagi masyarakat FELDA Jengka 24, pembangunan rancangan bukan sekadar diukur melalui kemudahan infrastruktur dan kemajuan ekonomi, tetapi juga keupayaan mengekalkan semangat berderau, sikap saling membantu serta warisan budaya yang menjadi asas kekuatan masyarakat sejak dahulu.






