
MACHANG – Empat negeri di utara dan Pantai Timur, iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu merekodkan kadar pembabitan kes dadah melebihi ambang nasional.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia termasuk Pendang di Kedah dan Kuala Krai di Kelantan yang dikenal pasti sebagai dua daerah yang merekodkan kadar pembabitan kes dadah tertinggi di negara ini.
Beliau berkata, penilaian itu dibuat berdasarkan jumlah individu yang terbabit dalam kes dadah bagi setiap 100,000 penduduk, mengikut piawaian antarabangsa yang diterima pakai Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).
Menurutnya, selain Pendang dan Kuala Krai, Tumpat, Tanah Merah serta Bachok di Kelantan, termasuk Besut di Terengganu, turut dikenal pasti sebagai daerah kritikal dengan kadar melebihi 1,000 kes bagi setiap 100,000 penduduk.
“Semua ini membimbangkan kita dan ia bukan hanya membabitkan satu negeri.
“Selain Kelantan, tiga negeri lain turut menunjukkan angka yang membimbangkan serta trend yang meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Kementerian Dalam Negeri di Sekolah Kebangsaan Jambu Lawar, di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, trend penyalahgunaan dadah dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 15 tahun juga semakin membimbangkan.
Pada masa sama, golongan berusia antara 15 hingga 39 tahun kekal sebagai kumpulan terbesar yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah berdasarkan profil sedia ada.
Justeru, beliau berkata, usaha pencegahan perlu dilaksanakan secara lebih menyeluruh, termasuk melalui pendidikan awal serta penglibatan ibu bapa bagi mengelakkan golongan muda terjerumus dalam penyalahgunaan dadah.
“Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mempunyai tiga fungsi utama iaitu pendidikan dan pencegahan, penguatkuasaan serta pemulihan.
“Kita mesti memperkukuh pendidikan awam bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan keluarga mengambil tindakan pencegahan,” katanya.
Mengulas usaha membanteras kegiatan berkaitan dadah di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand, Saifuddin berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Polis Kelantan supaya memastikan kawalan keselamatan dilaksanakan sepanjang masa di semua laluan sempadan.
Katanya, strategi berkenaan merangkumi pengekalan kehadiran polis yang ketara, merobohkan pangkalan haram serta penguatkuasaan Akta Imigresen terhadap pergerakan merentas sempadan tanpa dokumen sah.
Bagaimanapun, beliau mengakui langkah berkenaan tidak mampu menghapuskan sepenuhnya masalah itu kerana jenayah berkaitan dadah merupakan sebahagian daripada rangkaian jenayah terancang yang sudah beroperasi sejak berdekad lalu.
“Tindakan kita boleh membantu mengurangkan masalah ini, tetapi ia tidak dapat menghapuskannya secara total.
“Ini tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri dan pihak polis, namun ia masih belum mencukupi. Ia harus menjadi tanggungjawab bersama,” katanya.








