
DARO – Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Cawangan Daro menyantuni lima keluarga asnaf menerusi Program Baitulmal Sinergi 2026 dengan kerjasama 16 institusi bagi memperkukuh kebajikan golongan memerlukan di daerah ini.
Program yang berlangsung pada Sabtu itu merangkumi aktiviti Ziarah Mahabbah, gotong-royong serta taklimat berkaitan fungsi dan perkhidmatan Baitulmal kepada masyarakat setempat.
Pemangku Ketua Bahagian TBS Cawangan Daro, Izzat Hanif Dollah berkata, program berkenaan bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai peranan Baitulmal, selain memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi dan komuniti.
Menurutnya, penglibatan pelbagai pihak penting bagi memastikan usaha membantu golongan asnaf dapat dilaksanakan secara bersepadu dan berterusan.
“Program itu juga turut memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, institusi dan komuniti dalam membantu golongan memerlukan,” katanya.
Menerusi aktiviti Ziarah Mahabbah, lima keluarga asnaf dikunjungi di Kampung Pangtray, Kampung Lemang Pek, Kampung Baru, Kampung Itol dan Kampung Badong.

Lawatan berkenaan bertujuan mengenal pasti keperluan keluarga terbabit serta menyampaikan sokongan kepada mereka.
Selain itu, aktiviti gotong-royong turut diadakan di kediaman sebuah keluarga asnaf di Kampung Badong dengan penglibatan ahli Rakan Sinergi Baitulmal dan penyumbang luar.
Dalam pada itu, program berkenaan turut merangkumi Taklimat Kenali Baitulmal di Surau Darul Ihsan, Kampung Badong yang disampaikan Ketua Bahagian TBS Cawangan Mukah, Osman Immun.
Menurut Izzat, taklimat berkenaan bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai fungsi Baitulmal serta perkhidmatan yang disediakan kepada golongan layak.
“Taklimat berkenaan memberi penerangan mengenai fungsi dan perkhidmatan Baitulmal, termasuk urusan kutipan serta agihan bantuan kepada golongan yang layak,” katanya.
TBS Cawangan Daro berharap kerjasama strategik dengan pelbagai institusi dan komuniti dapat diteruskan bagi memperluas jaringan sokongan serta memastikan kebajikan golongan asnaf sentiasa diberikan perhatian.






