Petronas diberi tanggungjawab urus telaga gas terbesar Turkmenistan – PM

BUTTERWORTH – Keputusan kerajaan Turkmenistan menyerahkan pengurusan telaga gas terbesar negara itu kepada Petronas disifatkan sebagai pencapaian bersejarah yang mampu menjamin keselamatan bekalan tenaga jangka panjang Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjanjian yang dimeterai sempena lawatan rasminya ke Turkmenistan baru-baru ini bakal memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri tenaga global, selain menyokong komitmen negara dalam memenuhi keperluan pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, kejayaan itu dicapai hasil perbincangan secara langsung bersama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov, susulan lawatan rasmi pemimpin berkenaan ke Malaysia pada tahun 2024.

Menurutnya, perkembangan berkenaan meletakkan Petronas pada kedudukan strategik di sebuah negara yang memiliki antara rizab gas terbesar dunia, sekali gus meningkatkan keupayaan Malaysia untuk membekalkan gas kepada pasaran utama seperti Jepun, Korea Selatan, China dan beberapa negara lain.

“Saya buat perbincangan hati ke hati, bincang tentang pengalaman Petronas selama 30 tahun, dan saya minta diberi ruang kerana Petronas telah diurus dengan baik, mempunyai prestasi membanggakan tapi belum dapat merobos dalam cari gali, minyak atau gas yang berskala besar Walaupun ada di Kanada dan beberapa negara Afrika lain.

“Saya ucap terima kasih, satu setengah tahun berlalu, Presiden Serdar semalam mengumumkan di depan saya bahawa kerana hubungan baik dengan Malaysia, beliau bersetuju menyerahkan telaga gas di antara paling besar di dunia untuk diuruskan Malaysia, melalui Petronas,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, di sini, hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, perkembangan itu amat signifikan kerana ia meningkatkan kapasiti Malaysia dalam mengurus perdagangan tenaga berskala besar, selain memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada ekonomi utama dunia.Beliau turut menyifatkan pencapaian itu sebagai jaminan penting terhadap bekalan tenaga negara bagi tempoh jangka panjang.

“Dalam sejarah kita, ini adalah jaminan bekalan jangka panjang. Keduanya, ia memperkukuh keupayaan pengurusan dagangan tenaga kita untuk memenuhi semua permintaan pasaran utama seperti Jepun, Korea, China, Australia dan negara-negara lain yang kini berdagang dengan kita bagi jangka masa panjang,” katanya.

Mengulas pendekatan operasi Petronas di luar negara, Perdana Menteri berkata, syarikat minyak dan gas negara itu mengamalkan model perkongsian strategik yang memberi tumpuan kepada pemindahan teknologi, pembangunan modal insan dan kerjasama jangka panjang dengan negara rakan.

“Pengalaman Petronas ini unik, kita bukan syarikat multinasional biasa yang datang untuk mengeksploitasi. Kita datang sebagai rakan kongsi, kita kongsi teknologi, melatih pakar tempatan dan membawa pelajar terbaik mereka (Universiti Teknologi Petronas).

“Malah, kita turut membuka ruang kepada syarikat tempatan Turkmenistan untuk dilatih, diberikan pendedahan sewajarnya dan bekerjasama. Disebabkan faktor itu, beliau (Presiden Turkmenistan) bersetuju menyerahkan telaga besar termasuk beberapa kemudahan lain untuk dikelola oleh Petronas,” katanya.

Anwar berkata, kepercayaan yang diberikan oleh Turkmenistan mencerminkan kredibiliti, kepakaran teknikal dan pengalaman Petronas mengendalikan projek tenaga berskala besar sepanjang tiga dekad operasinya di negara itu.

Katanya, perkembangan berkenaan turut mengangkat kedudukan Malaysia dan Petronas ke tahap lebih tinggi dalam industri tenaga antarabangsa.

Related Posts

AMK tolak gesaan bubar Parlimen, dakwa Kerajaan MADANI masih stabil

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) menolak gesaan supaya Parlimen dibubarkan susulan tawaran peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dengan menegaskan kestabilan kerajaan bergantung kepada mandat dan kepercayaan majoriti Dewan Rakyat. Naib…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PMK perkukuh komunikasi dua hala kerajaan dan rakyat

GOPENG – Program MADANI Kita (PMK) 2026 bukan sekadar platform menyampaikan dasar dan maklumat kerajaan, sebaliknya menjadi medan memperkukuh komunikasi dua hala dengan memberi ruang kepada rakyat menyuarakan pandangan, mengemukakan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Hasbi mahu Teluk Brunei jadi venue sukan air antarabangsa

Hasbi mahu Teluk Brunei jadi venue sukan air antarabangsa

Pesawah mengeluh, mula ‘tawar hati’ untuk tanam padi

Pesawah mengeluh, mula ‘tawar hati’ untuk tanam padi

Pesta Limbang 2026 catat jualan hampir RM1 juta, tarik 30,000 pengunjung

Pesta Limbang 2026 catat jualan hampir RM1 juta, tarik 30,000 pengunjung

AMK tolak gesaan bubar Parlimen, dakwa Kerajaan MADANI masih stabil

AMK tolak gesaan bubar Parlimen, dakwa Kerajaan MADANI masih stabil

PMK perkukuh komunikasi dua hala kerajaan dan rakyat

PMK perkukuh komunikasi dua hala kerajaan dan rakyat

Kerajaan lihat, dengar dan bertindak menerusi PMK – KP JKOM

Kerajaan lihat, dengar dan bertindak menerusi PMK – KP JKOM