KEPALA BATAS – Malaysia memperoleh jaminan bekalan petrol, gas dan diesel untuk tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun hasil kerjasama jangka panjang yang dipersetujui bersama Rusia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jaminan yang diberikan Presiden Rusia, Vladimir Putin, itu akan membantu memastikan kestabilan bekalan tenaga negara ketika pasaran global terus berdepan ketidaktentuan.
Beliau berkata, persefahaman berkenaan dicapai susulan hubungan baik yang terjalin antara Malaysia dan Rusia, sekali gus membuka ruang kerjasama lebih luas dalam sektor tenaga dan ekonomi.
“Saya fikir Malaysia ini negara bebas dan merdeka, perlu berkawan dengan semua dan beri ruang supaya orang boleh melabur.
“Dalam lawatan baru ini, Presiden Putin bagi jaminan supaya ada perjanjian jangka panjang supaya bekalan minyak, gas dan diesel kepada Malaysia terselamat untuk kurang dari 20 tahun… yang (ini lahir) hanya kerana persahabatan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Setia Fontaines Industrial Park di Setia Experience Centre, Bandar Setia Fontaines, di sini, hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, pendekatan Malaysia yang mengamalkan dasar luar pragmatik dan seimbang membolehkan negara memperkukuh hubungan dengan pelbagai negara, termasuk Rusia, demi kepentingan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, usaha diplomatik yang dilaksanakan kerajaan memberi tumpuan kepada keperluan jangka panjang negara, khususnya dalam aspek keselamatan tenaga dan pembangunan ekonomi.
“Sekarang orang sibuk bercerita kenapa saya tidak ke Johor dan Negeri Sembilan kerana bakal ada pilihan raya negeri (PRN) tetapi keutamaan sekarang yang perlu difikirkan adalah soal keperluan tenaga masa depan kita.
“Kita lega dengan pertemuan bersama Presiden Putin kemudian bersama Presiden Turkmenistan juga kita peroleh berita baik yang mereka setuju nak menyerahkan di antara telaga blok sembilan dan 10 iaitu telaga simpanan gas di antara yang terbesar di dunia kepada Malaysia melalui Petronas (Petroliam Nasional Bhd),” katanya.
Beliau berkata, kerjasama strategik Malaysia dengan Rusia dan Turkmenistan akan memperkukuh kedudukan negara dalam rantaian bekalan tenaga global.
Katanya, langkah mempelbagaikan sumber bekalan tenaga penting bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan akibat ketidaktentuan geopolitik dan turun naik pasaran antarabangsa.
Anwar mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Kazan, Tatarstan, Rusia dari 17 hingga 18 Jun sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia Ke-35 yang turut menemukan beliau dengan Putin.




