
MUKAH – Hubungan silaturahim antara golongan muda dari seluruh Sarawak dengan masyarakat luar bandar Mukah mula terjalin erat menerusi Majlis Penyerahan Anak Angkat Program Bakti Belia MADANI 2026 yang berlangsung di Dewan Datuk Awg Udin, Kampung Datuk di sini pada Jumaat.
Majlis penyerahan tersebut menjadi simbolik bermulanya program kemasyarakatan selama tiga hari yang menempatkan para peserta di rumah keluarga angkat bagi mendalami kehidupan dan budaya komuniti setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, program yang berlangsung sehingga 21 Jun ini merupakan wadah terbaik dalam membentuk sahsiah diri golongan pelapis negara.
“Kita mahu program ini menjadi platform utama untuk memupuk nilai kepimpinan, semangat sukarelawan yang tinggi serta memperkukuh perpaduan antara belia dan masyarakat akar umbi.
“Semoga segala usaha yang dilaksanakan sepanjang tiga hari ini memberi impak positif kepada komuniti dan meninggalkan kenangan yang cukup bermakna buat semua,” katanya.
Beliau menambah, para peserta bukan sahaja tinggal bersama keluarga angkat, malah akan dikerahkan bagi menjayakan pelbagai aktiviti gotong-royong serta program pembangunan fizikal dan sosial di kampung-kampung terlibat.
Menurut Royston, inisiatif ini dijangka dapat melatih golongan muda agar lebih peka terhadap isu kebajikan serta keperluan masyarakat di kawasan luar bandar.
Majlis penuh harmoni itu turut dihadiri oleh Penghulu Besiri Keri, Ketua Kampung Julaihi Hassan.





