
KOTA KINABALU – Sabah Dive Squad Club (Deus Diving Club) menyambut baik penguatkuasaan Akta Perikanan (Pindaan) 2025 [Akta A1780] yang mula berkuat kuasa pada 15 Jun lalu, sambil menyifatkan langkah itu sebagai usaha penting memperkukuhkan perlindungan biodiversiti marin negara.
Presidennya, Sim Fui JP berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan Kerajaan Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia dalam memperkukuhkan kerangka perundangan bagi membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU Fishing), selain memastikan kelestarian sumber perikanan negara untuk jangka panjang.
“Sabah sebagai salah satu destinasi selam terkemuka dunia memiliki khazanah marin yang amat bernilai, termasuk spesies ikonik seperti penyu, jerung paus, ikan lumba-lumba, dugong serta ekosistem terumbu karang yang kaya.
“Kawasan marin seperti Pulau Sipadan, Taman Marin Tun Sakaran, Taman Laut Tunku Abdul Rahman dan Kepulauan Penyu bukan sahaja menjadi aset penting kepada keseimbangan ekologi, malah menyumbang secara signifikan kepada sektor pelancongan serta ekonomi komuniti tempatan.
“Peningkatan hukuman terhadap kesalahan mengganggu mamalia akuatik dan penyu, termasuk denda sehingga RM250,000 di bawah pindaan undang-undang baharu, merupakan langkah yang amat dialu-alukan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, pada Jumaat.
Gangguan hidupan marin
Menurutnya, tindakan mengganggu hidupan marin seperti menyentuh, mengejar, memegang atau bergambar secara dekat bersama haiwan laut sering dianggap tidak berbahaya oleh sesetengah individu, sedangkan perbuatan itu boleh menyebabkan tekanan serius, kecederaan, perubahan tingkah laku, gangguan corak pemakanan serta menjejaskan proses pembiakan spesies terbabit.
“Penyu khususnya merupakan spesies dilindungi yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan ekosistem marin, dan sebarang gangguan ketika aktiviti mencari makanan, berehat, mengawan atau bersarang boleh memberi kesan buruk terhadap kelangsungan hidupnya.
“Beberapa insiden membabitkan hidupan marin di Sabah sebelum ini membuktikan keperluan kepada penguatkuasaan lebih tegas serta peningkatan kesedaran awam,”ujarnya.
Penguatkuasaan pihak berkuasa
Tambahnya, antaranya insiden pada Mac 2025 apabila video tular memaparkan beberapa penyelam memegang dan mengendalikan seekor penyu untuk tujuan bergambar sehingga mencetuskan kecaman awam serta tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.
“Selain itu, terdapat juga kes penyelam mengganggu jerung paus dengan memegang haiwan berkenaan, selain ancaman berterusan terhadap spesies penyu sisik di Semporna akibat aktiviti eksploitasi hidupan liar.
“Tindakan tidak bertanggungjawab terhadap hidupan marin bukan sahaja mengancam kelangsungan spesies berkenaan, malah boleh menjejaskan reputasi Sabah sebagai destinasi ekopelancongan dan selam skuba bertaraf dunia,” jelasnya.
Cadangan langkah pemuliharaan marin
Sehubungan itu, Deus Diving Club mencadangkan beberapa langkah tambahan termasuk mewajibkan taklimat pemuliharaan marin kepada peserta aktiviti selam pengenalan (Discovery Scuba Diving), aktiviti snorkeling serta penyelam baharu sebelum memasuki kawasan perairan.
“Kelab ini turut mencadangkan supaya pusat selam, resort dan pengusaha pelancongan marin di seluruh Sabah memperluaskan program kesedaran pemuliharaan, selain menyediakan bahan pendidikan pelbagai bahasa termasuk Bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan Mandarin untuk pelancong antarabangsa.
“Mekanisme pelaporan mandatori juga wajar diwujudkan bagi membolehkan pengusaha selam melaporkan sebarang gangguan terhadap hidupan marin atau aktiviti penangkapan ikan secara haram yang disaksikan.
“Sebagai penyelam, kita hanyalah tetamu dalam dunia bawah laut. Setiap penyelam dan pelancong mempunyai tanggungjawab untuk menghormati hidupan marin dengan memerhati tanpa menyentuh,” katanya.
Komited perkukuh amalan selaman
Beliau menegaskan, prinsip mudah seperti tidak menyentuh hidupan marin, mengekalkan jarak selamat, tidak mengejar atau memberi makan kepada haiwan laut serta mematuhi arahan profesional selam mampu memberi kesan besar dalam melindungi warisan marin Sabah.
“Deus Diving Club turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan agensi kerajaan, organisasi pemuliharaan marin, pengusaha selam dan komuniti tempatan dalam memperkukuhkan amalan selam bertanggungjawab serta pendidikan alam sekitar.
“Melindungi lautan bukan sekadar tanggungjawab terhadap alam sekitar, tetapi merupakan pelaburan kepada masa depan, keselamatan makanan, industri pelancongan dan warisan generasi akan datang,” jelasnya.







