Malaysia, Rusia perkukuh kerjasama strategik dalam tenaga dan teknologi

KAZAN – Malaysia dan Rusia komited memperkukuh hubungan dua hala menerusi peluasan kerjasama strategik dalam pelbagai sektor utama, termasuk tenaga, teknologi dan perdagangan.

Komitmen itu dizahirkan dalam pertemuan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di sini.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, termasuk komitmen Rusia dalam menyediakan kerjasama jangka panjang berkaitan bekalan tenaga dan minyak.

“Mereka juga bertukar pandangan mengenai peluang memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi baharu, keselamatan siber, digital, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden dan farmaseutikal,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin turut menyentuh usaha memudah cara pergerakan rakyat menerusi pemansuhan visa, selain meneroka mekanisme bagi memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala menggunakan mata wang tempatan, iaitu ringgit dan ruble.

“Kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah strategik dan proaktif bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara, termasuk melalui kerjasama antarabangsa yang mampu menjamin kestabilan, kesinambungan dan daya tahan bekalan tenaga demi kepentingan rakyat serta kemakmuran negara,” menurut PMO.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, kini berada di Kazan, ibu kota dan bandar terbesar Republik Tatarstan, bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia yang berlangsung pada 17 hingga 18 Jun.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada Putin atas sokongan Rusia dalam memperkukuh kerjasama tenaga dengan Malaysia, khususnya melibatkan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Beliau berkata, mekanisme kerjasama dua hala antara Malaysia dan Rusia kini semakin berkembang dengan merangkumi sektor perdagangan, pelaburan, kewangan dan ekonomi halal.

Selain itu, Malaysia kini di peringkat akhir pemuktamadan pengaturan liberalisasi visa dengan Rusia yang dijangka memudahkan lagi urusan perjalanan dan kerjasama antara rakyat kedua-dua negara.

Sebagai rekod, Rusia menyasarkan pemansuhan keperluan visa bagi warganegara Malaysia, Indonesia dan Kuwait pada tahun ini.

Anwar berkata, Kementerian Luar Rusia sedang mempergiat usaha untuk memuktamadkan dan menyelaraskan perjanjian berkaitan.

“Anda telah memberikan sokongan yang kuat. Terima kasih banyak-banyak. Petronas berada di sini bersama-sama rakan niaga Rusia (Rosneft). (Petronas juga mengadakan mesyuarat) dengan beberapa syarikat lain di sini,” kata beliau.

PJSC Rosneft Oil Company ialah syarikat tenaga bersepadu terbesar di Rusia dan antara syarikat minyak serta gas awam terbesar di dunia yang menjalankan aktiviti cari gali, pengeluaran, penapisan dan pemasaran produk petroleum hidrokarbon.

Syarikat yang beribu pejabat di Moscow itu menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jumlah pengeluaran minyak Rusia.

Pada April lalu, Anwar dilaporkan berkata Petronas akan mengadakan rundingan dengan Rusia bagi mendapatkan bekalan minyak yang mencukupi untuk keperluan domestik berikutan hubungan baik antara Putrajaya dan Moscow yang meletakkan Malaysia pada kedudukan kukuh untuk meneruskan rundingan berkenaan.

Perdana Menteri turut menyatakan penghargaan terhadap komitmen Putin dalam meningkatkan kerjasama tenaga serta sokongan yang diberikan ketika krisis tenaga.

Beliau turut berharap Rusia akan terus menyokong usaha meningkatkan ketersambungan udara antara Malaysia dengan bandar utama negara itu, termasuk Moscow dan Kazan, sekali gus merancakkan sektor pelancongan, perdagangan dan hubungan sesama rakyat.

Anwar berkata, kedua-dua negara juga sedang meneroka peluang kerjasama dalam bidang kewangan dan ekonomi halal, manakala perbincangan berkaitan perdagangan dan pelaburan terus menunjukkan perkembangan positif.

Pada 2024, jumlah perdagangan antara ASEAN dan Rusia mencecah AS$18.1 bilion, manakala pelaburan langsung asing Rusia di ASEAN direkodkan sebanyak RM367.90 juta (AS$92.97 juta).

Bagi Malaysia, Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar dalam kalangan negara Eropah pada 2025, dengan jumlah perdagangan bernilai RM8.72 bilion (AS$2.04 bilion).

Eksport utama Malaysia ke Rusia merangkumi produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan serta alat ganti, selain produk makanan diproses.

Import utama dari Rusia pula terdiri daripada produk petroleum, mineral, bahan kimia dan produk berasaskan kimia.

Related Posts

Muhasabah, akhlak baik kunci umat Islam tampil sebagai teladan – PM

SERDANG – Umat Islam perlu melakukan muhasabah dan memperkukuh sahsiah bagi memastikan Islam terus dipersembahkan melalui akhlak serta teladan yang baik, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perdana Menteri berkata, cara…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Cadangan audit forensik FELDA akan dibawa ke Kabinet – PM

SERDANG – Kerajaan akan membincangkan cadangan pelaksanaan audit forensik terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dalam mesyuarat Kabinet, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perdana Menteri berkata, cadangan berkenaan susulan saranan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pendapatan nelayan Tasik Gubir terjejas akibat air surut

Pendapatan nelayan Tasik Gubir terjejas akibat air surut

Amirudin seru semarak Maulidur Rasul dengan kasih sayang, ukhuwah

Amirudin seru semarak Maulidur Rasul dengan kasih sayang, ukhuwah

Muhasabah, akhlak baik kunci umat Islam tampil sebagai teladan – PM

Muhasabah, akhlak baik kunci umat Islam tampil sebagai teladan – PM

Polis nafi dakwaan kes culik wanita di Karak

Polis nafi dakwaan kes culik wanita di Karak

68 rumah terima bantuan awal, rosak akibat kejadian ribut

68 rumah terima bantuan awal, rosak akibat kejadian ribut

Cadangan audit forensik FELDA akan dibawa ke Kabinet – PM

Cadangan audit forensik FELDA akan dibawa ke Kabinet – PM