Kembara Tanah Biso mohon maaf persenda, cipta provokasi Institusi Undang Negeri Sembilan

SEREMBAN – Kembara Tanah Biso tampil memohon ampun dan maaf kepada Institusi Undang Negeri Sembilan susulan hantaran di media sosial yang didakwa mempermainkan struktur kepimpinan Adat Perpatih sehingga mencetuskan pelbagai reaksi.

Permohonan maaf itu ditujukan kepada Undang Luak Sungei Ujong; Undang Luak Jelebu; Undang Luak Johol; Undang Luak Rembau, berserta Tunku Besar Tampin, dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial, pihak berkenaan menyatakan kekesalan di atas kekhilafan dalam hantarannya sebelum ini yang mempersendakan Institusi Undang yang menjadi tunjang sistem adat di Negeri Sembilan.

Katanya, pihaknya sentiasa berdiri teguh dalam menjunjung dan menghormati Institusi Adat Perpatih sama ada di Naning mahupun di Negeri Sembilan secara keseluruhannya.

“Kami di Kembara Tanah Biso dengan penuh rasa hormat memohon ampun dan maaf kepada Empat Undang Luak, Tunku Besar Tampin dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong sekiranya sebelum ini dilihat seolah-olah mempermainkan institusi undang.

“Kami sentiasa berdiri teguh dalam menjunjung dan menghormati Institusi Adat Perpatih, sama ada di Naning mahupun di Negeri Sembilan secara keseluruhannya,” katanya yang dimuat naik oleh Kembara Tanah Biso di Facebook, miliknya.

Sebelum ini, satu hantaran yang dimuat naik oleh halaman berkenaan menjadi perhatian apabila menggunakan beberapa gelaran dan jawatan adat rekaan yang menyerupai struktur kepimpinan dalam Adat Perpatih.

Antara gelaran yang digunakan termasuk Datuk Undang Luak Bukit Cino, Datuk Anggok Tak Bertanyo, Datuk Sombab Mato, Datuk Kulup Bosa dan beberapa gelaran lain yang tidak wujud dalam hierarki rasmi institusi adat.

Hantaran sama turut menyebut mengenai pembentukan suku baharu, undang baharu dan lembago baharu, yang dipercayai merujuk kepada perkembangan semasa berkaitan isu adat dan pelantikan kepimpinan tertentu.

Bagaimanapun, penggunaan istilah serta gelaran rekaan itu telah mengundang kritikan daripada sebahagian pihak yang berpendapat ia boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk sindiran dan jenaka terhadap Institusi Undang serta sistem Adat Perpatih yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat Negeri Sembilan.

Terdahulu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan memohon maaf kepada Institusi Undang Yang Empat atas keterlanjurannya bergurau menyebut Anthony Loke sebagai ‘Tok Undang’ baru-baru ini.

Menurut Ahmad Shahir Mohd Shah, sebagai anak Negeri Sembilan yang menjunjung tinggi adat, budaya dan Institusi Undang yang menjadi teras identiti negeri ini, beliau memandang serius penggunaan gelaran tersebut.

Namun jelasnya, penggunaan gelaran tersebut atau naratif itu telah pun dimainkan oleh pelbagai individu di media sosial sejak 27 April lagi.

“Perkembangan yang berlaku selepas 13 Jun lalu menunjukkan bahawa naratif tersebut terus dimainkan dan disebarkan secara meluas oleh pelbagai platform media sosial yang mempunyai kecenderungan politik tertentu, khususnya di Negeri Sembilan.

“Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang ingin menafikan perkara ini, saya ingin menegaskan bahawa semua hantaran, komen dan bahan berkaitan telah direkodkan serta disimpan sebagai rujukan,” katanya.

Ahmad Shahir berkata, fakta dan bukti tersebut membolehkan rakyat menilai sendiri bagaimana naratif itu bermula.

Tambahnya, tindakan membiarkan gelaran yang menyentuh sensitiviti institusi Undang digunakan secara terbuka dan berterusan tanpa sebarang teguran juga menimbulkan persoalan tentang sejauh mana komitmen pihak-pihak tertentu dalam mempertahankan kemuliaan institusi adat yang mereka dakwa sebagai garis merah perjuangan mereka.

“Pendedahan ini bukan bertujuan memanjangkan polemik politik, sebaliknya untuk menjelaskan fakta dan kronologi sebenar kepada rakyat.

“Saya menyerahkan kepada kebijaksanaan rakyat Negeri Sembilan untuk menilai sendiri siapakah yang mula memainkan naratif ini dan siapakah yang benar-benar konsisten dalam mempertahankan kemuliaan institusi Undang daripada dijadikan bahan sindiran atau alat percaturan politik,” katanya.

Related Posts

Polis Marin Sabah rekod 95 kes, rampasan lebih RM25 juta sejak Januari

SANDAKAN – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merekodkan 95 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 membabitkan 91 tangkapan dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan melebihi RM25 juta sepanjang…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pengesahan umur akaun media sosial diwajibkan individu 16 tahun ke atas

KUALA LUMPUR – Semua pemberi perkhidmatan media sosial berlesen diwajibkan melaksanakan mekanisme pengesahan umur menggunakan dokumen rasmi bagi memastikan hanya individu berusia 16 tahun ke atas dibenarkan mendaftar dan memiliki…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Polis Marin Sabah rekod 95 kes, rampasan lebih RM25 juta sejak Januari

Polis Marin Sabah rekod 95 kes, rampasan lebih RM25 juta sejak Januari

Pengesahan umur akaun media sosial diwajibkan individu 16 tahun ke atas

Pengesahan umur akaun media sosial diwajibkan individu 16 tahun ke atas

Rasuk dimakan anai-anai punca runtuhan di Lebuh Armenian

Rasuk dimakan anai-anai punca runtuhan di Lebuh Armenian

DBKL sita 323 basikal sewa beroperasi tanpa lesen di Tasik Titiwangsa

  • By Aden
  • August 4, 2026
DBKL sita 323 basikal sewa beroperasi tanpa lesen di Tasik Titiwangsa

Status pelunasan zakat Tabung Haji sah, sempurna

Status pelunasan zakat Tabung Haji sah, sempurna

PH Negeri Sembilan mangsa politik identiti kaum, agama

PH Negeri Sembilan mangsa politik identiti kaum, agama