Isu kanak-kanak Rohingya: KDN pertahan pendekatan Malaysia, sangkal dakwaan Noor Azizah

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menolak dakwaan yang mengaitkan Malaysia dengan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak migran dan pelarian, termasuk komuniti Rohingya.

Kementerian itu menegaskan dakwaan bahawa kanak-kanak dikurung tanpa pembelaan atau dinafikan kebajikan asas tidak mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam mengurus isu migrasi tidak teratur secara bertanggungjawab, berperikemanusiaan serta selaras dengan keperluan keselamatan negara.

Menurut KDN, pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi memastikan kebajikan dan perlindungan kanak-kanak terbabit terus diberi perhatian, termasuk melalui penyediaan kemudahan Baitul Mahabbah serta pembangunan kerangka Alternatif Kepada Penahanan Kanak-Kanak.

Sehingga 28 Februari lalu, enam Baitul Mahabbah beroperasi di seluruh negara dengan menempatkan 188 kanak-kanak, termasuk tujuh yang dikategorikan sebagai kanak-kanak tanpa penjaga atau terpisah daripada keluarga.

“Baitul Mahabbah adalah langkah peralihan dilaksanakan kerajaan sementara kerangka inisiatif alternatif kepada penahanan kanak-kanak yang lebih menyeluruh diperhalusi KDN bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), rakan strategik kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas terhadap dakwaan yang dibangkitkan aktivis Rohingya, Noor Azizah, mengenai isu penahanan dan akses pendidikan melibatkan komuniti Rohingya di Malaysia ketika menghadiri satu program di Australia baru-baru ini.

Dalam program berkenaan, beliau dilaporkan menyentuh isu lebih 2,000 kanak-kanak Rohingya yang didakwa ditempatkan di depot tahanan imigresen dan membesar di sebalik jeriji besi berbanding berada di bilik darjah.

Mengulas perkara itu, KDN berkata Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama kementerian sentiasa mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kebajikan kanak-kanak yang terlibat terus terpelihara.

Menurut kementerian itu, Baitul Mahabbah diwujudkan sebagai langkah interim bagi menyediakan penempatan sementara yang lebih sesuai kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah bersama penjaga mereka sementara urusan dokumentasi dan pengesahan status diselesaikan.

“Inisiatif itu membolehkan kanak-kanak dipindahkan daripada persekitaran depot tahanan imigresen biasa sementara proses dokumentasi, pengesahan status dan penyelesaian lanjut dilaksanakan.

“Di Baitul Mahabbah, mereka ditempatkan dalam persekitaran lebih kondusif serta diberikan perhatian dari segi keperluan asas, keselamatan, kesihatan, aktiviti pendidikan tidak rasmi, bimbingan asas dan ruang riadah bersesuaian dengan umur serta keadaan mereka.

“Kerajaan juga merancang memperluas skop dan kapasiti Baitul Mahabbah secara berfasa, termasuk bagi menampung kategori umur kanak-kanak lain, tertakluk kepada kesesuaian kemudahan, tahap keselamatan, keperluan perlindungan mereka serta kapasiti agensi pelaksana,” katanya.

Dalam pada itu, KDN menegaskan isu migrasi paksa memerlukan komitmen bersama semua pihak termasuk negara asal, pertubuhan antarabangsa, negara serantau dan aktivis kemanusiaan bagi mencari penyelesaian yang lebih mampan.

Jelas kementerian itu, perhatian tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kritikan terhadap negara penerima, sebaliknya perlu merangkumi usaha menangani punca utama migrasi paksa termasuk kegiatan penyeludupan migran dan pemerdagangan manusia.

KDN turut menegaskan bahawa isu membabitkan komuniti Rohingya tidak boleh dilihat secara terpisah daripada cabaran keselamatan dan kemanusiaan rentas sempadan yang semakin kompleks.

“Malaysia juga ingin menegaskan isu ini tidak boleh dilihat secara terpisah daripada konteks lebih besar.

“Kemasukan tidak sah, penyeludupan migran dan pemerdagangan orang membabitkan komuniti rentan, termasuk Rohingya, merupakan cabaran keselamatan dan kemanusiaan yang kompleks serta merentas sempadan.

“Dalam banyak keadaan, kanak-kanak menjadi mangsa kepada rangkaian sindiket yang mengambil kesempatan atas konflik, kemiskinan dan ketiadaan penyelesaian jangka panjang di negara asal,” katanya.

Related Posts

Pengesahan umur akaun media sosial diwajibkan individu 16 tahun ke atas

KUALA LUMPUR – Semua pemberi perkhidmatan media sosial berlesen diwajibkan melaksanakan mekanisme pengesahan umur menggunakan dokumen rasmi bagi memastikan hanya individu berusia 16 tahun ke atas dibenarkan mendaftar dan memiliki…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PH Negeri Sembilan mangsa politik identiti kaum, agama

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan membuka satu persoalan besar yang perlu direnungi oleh seluruh rakyat Malaysia, khususnya pengundi Melayu. Adakah kita memilih kerajaan berdasarkan prestasi, atau berdasarkan sentimen…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Rangka dalam guni disahkan manusia, waris sedang dikesan

Rangka dalam guni disahkan manusia, waris sedang dikesan

Polis tumpaskan ‘Geng Andy’, selesai 10 kes curi rim kenderaan

Polis tumpaskan ‘Geng Andy’, selesai 10 kes curi rim kenderaan

Polis Marin Sabah rekod 95 kes, rampasan lebih RM25 juta sejak Januari

Polis Marin Sabah rekod 95 kes, rampasan lebih RM25 juta sejak Januari

Pengesahan umur akaun media sosial diwajibkan individu 16 tahun ke atas

Pengesahan umur akaun media sosial diwajibkan individu 16 tahun ke atas

Rasuk dimakan anai-anai punca runtuhan di Lebuh Armenian

Rasuk dimakan anai-anai punca runtuhan di Lebuh Armenian

DBKL sita 323 basikal sewa beroperasi tanpa lesen di Tasik Titiwangsa

  • By Aden
  • August 4, 2026
DBKL sita 323 basikal sewa beroperasi tanpa lesen di Tasik Titiwangsa