
PUTRAJAYA – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sekadar indikator pertembungan politik, namun menjadi medan bagi menguji model politik baharu yang mungkin menentukan hala tuju politik Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, landskap politik Johor kini sedang melalui transformasi ekonomi dan sosial yang berpotensi mengubah corak pemikiran serta kecenderungan pengundi dalam membuat pilihan politik.
“Sejak sekian lama, Johor sering dianggap sebagai fixed deposit politik bagi Barisan Nasional (BN). Namun perkembangan politik sejak 2018 menunjukkan bahawa tiada lagi negeri yang boleh dianggap sebagai milik kekal mana-mana parti.
“Sebaliknya, Johor kini boleh dilihat sebagai future deposit, iaitu negeri yang bakal memberi kelebihan kepada parti yang paling berjaya meyakinkan rakyat tentang masa depan yang ingin dibina.
“Dalam konteks ini, PRN Johor bukan lagi soal mempertahankan legasi politik masa lalu, tetapi pertandingan menawarkan visi masa depan,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.
Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, pertembungan dua naratif utama dijangka berlaku pada PRN Johor, iaitu nostalgia politik dengan menekankan kestabilan, pengalaman dan rekod pentadbiran, serta naratif aspirasi masa depan dalam memberi fokus pada pembangunan ekonomi baharu, peluang pekerjaan berkualiti, transformasi digital, selain kedudukan Johor sebagai hab ekonomi serantau.
Pada masa sama, beliau berpandangan, antara faktor menjadikan PRN Johor berbeza adalah kewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang bukan sahaja memberi implikasi positif terhadap ekonomi, namun berpotensi mempengaruhi tingkah laku politik pengundi.
“Jika dahulu rakyat menilai kerajaan berdasarkan isu tempatan seperti jalan raya, kemudahan awam dan pembangunan fizikal, kini semakin ramai menilai kerajaan melalui kemampuan menarik pelaburan, mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi dan menghubungkan Johor dengan ekonomi serantau.
“Dalam erti kata lain, pengundi Johor mungkin semakin melihat politik melalui lensa peluang ekonomi dan mobiliti sosial. Satu lagi persoalan menarik, sama ada Johor sedang menjadi medan peralihan daripada politik identiti kepada politik peluang. Demografi dan geografi Johor boleh ditakrif sebagai ‘Mini Malaysia’,” katanya.

Dalam pada itu, Sivamurugan berpendapat, politik Malaysia selama beberapa dekad banyak dipengaruhi oleh faktor etnik, agama dan kesetiaan parti, namun perubahan demografi, urbanisasi dan pendedahan kepada ekonomi global mula mengubah keutamaan sebahagian pengundi.
“Bagi ramai pengundi muda, isu seperti peluang pekerjaan, kos sara hidup, perumahan dan prospek ekonomi mungkin lebih dekat dengan kehidupan harian mereka berbanding polemik politik tradisional. Jika trend ini berterusan, Johor mungkin menjadi negeri menunjukkan bagaimana politik masa depan Malaysia akan berkembang,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan, PRN Johor juga menjadi ujian penting terhadap hubungan politik pasca-2022, khususnya dalam menilai sejauh mana berlaku pemindahan undi di peringkat akar umbi antara parti-parti yang mempunyai hubungan kerjasama politik.
Menurutnya, kesediaan penyokong sesebuah parti mengundi calon daripada parti lain akan menjadi indikator penting sama ada formula kerjasama politik semasa mempunyai asas yang kukuh menjelang PRU16.
“Johor mempunyai hampir semua elemen yang terdapat dalam politik nasional. Ia mempunyai kawasan bandar dan luar bandar, pengundi Melayu, Cina dan India, komuniti FELDA, kawasan industri serta generasi muda yang semakin berpengaruh. Keunikan inilah yang menjadikan Johor sering dianggap sebagai gambaran kecil kepada politik Malaysia secara keseluruhan.
“Apa yang berlaku di Johor mungkin tidak menentukan masa depan negara secara langsung, tetapi ia sering memberi petunjuk awal tentang arah aliran politik lebih besar. Akhirnya, PRN Johor bukan sekadar pertandingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri. Ia pertandingan menentukan model politik yang akan mendominasi Malaysia pada masa hadapan,” katanya.






