
HULU LANGAT – Struktur bangunan flat empat tingkat yang didakwa dibina secara tidak sah dan menjadi penempatan komuniti Rohingya di Sungai Tekali di sini mula dirobohkan hari ini.
Penghulu Kampung Sungai Makau, Karen Chong berkata, kerja-kerja perobohan bermula kira-kira jam 11 pagi dan dijangka mengambil masa sekitar dua minggu untuk diselesaikan.
Menurut beliau, kos perobohan ditanggung sepenuhnya oleh pemilik bangunan yang tampil mengambil tanggungjawab susulan isu berkenaan mendapat perhatian ramai.
“Proses perobohan telah dimulakan hari ini dan dijangka selesai dalam tempoh dua minggu. Semua kos ditanggung oleh pemilik bangunan terbabit,” katanya, seperti dilapor media tempatan.
Terdahulu, bangunan yang tular di media sosial itu mula lengang dengan kebanyakan penghuninya dipercayai telah berpindah ke lokasi lain sejak beberapa hari lalu.
Sebahagian besar unit kediaman di bangunan berkenaan didapati berkunci rapat, manakala beberapa premis perniagaan yang beroperasi di kawasan itu turut ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa.
Kawasan berkenaan bukan sahaja dijadikan penempatan, malah menempatkan beberapa aktiviti ekonomi kecil termasuk tempat memproses kopi, bengkel, kawasan parkir lori serta warung makan.

Isu penempatan itu menjadi perhatian selepas tular rakaman video memaparkan keadaan bangunan yang uzur dengan struktur binaan yang didakwa tidak sempurna.
Video tersebut turut menunjukkan laluan koridor yang ditutup dengan bumbung zink, dinding bata yang tidak disimen sepenuhnya serta sambungan paip air dan pendawaian elektrik yang berselirat.
Susulan pendedahan itu, pelbagai pihak menggesa tindakan segera diambil terhadap struktur berkenaan yang dipercayai dibina tanpa kelulusan pihak berkuasa.






