
MUKAH – Mantan Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh yang bersara wajib pada 17 April lalu diraikan dalam Majlis Lambaian Kasih Sanjungan Budi pada Jumaat.
Majlis berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan beliau sepanjang menerajui pentadbiran bahagian tersebut.
Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, Lei Poh telah memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat di Mukah.
“Beliau merupakan seorang pegawai yang komited, berdedikasi dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Segala jasa, pengorbanan dan sumbangan beliau sepanjang berkhidmat telah meninggalkan impak yang besar kepada pembangunan Bahagian Mukah dan akan terus dikenang oleh masyarakat,” katanya ketika menghadiri majlis tersebut.
Menurut Hanifah, kerjasama erat yang terjalin antara Pejabat Residen, agensi kerajaan dan wakil rakyat sepanjang tempoh perkhidmatan Lei Poh banyak membantu melancarkan pelbagai projek pembangunan.
Katanya, ia turut melancarkan pelaksanaan pelbagai program kemasyarakatan yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Pada majlis sama, penghargaan turut diberikan kepada Timbalan Residen Bahagian Mukah, Shafrie Saili yang akan bertukar ke Pejabat Residen Bahagian Sarikei bagi meneruskan perkhidmatannya.
Acara tersebut menjadi platform bagi warga pentadbiran, pemimpin masyarakat dan rakan seperkhidmatan menzahirkan ucapan penghargaan serta selamat maju jaya atas khidmat cemerlang kedua-dua pegawai terbabit.
Residen Bahagian Mukah bertindak sebagai peneraju utama pentadbiran kerajaan negeri dan ejen barisan hadapan di peringkat bahagian.
Mereka bertanggungjawab menyelaras pembangunan wilayah, memantau pelaksanaan program daerah di bawah pentadbirannya (seperti Mukah, Dalat, Matu, Daro, dan Tanjung Manis), serta menjadi penghubung utama antara Kerajaan Sarawak dan rakyat.






