
PERTIKAIAN berhubung kesahan proklamasi dan tindakan berkaitan pentadbiran Negeri Sembilan perlu diselesaikan menerusi mahkamah sekiranya setiap pihak terus mengemukakan tafsiran serta dakwaan berbeza, kata Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali.
Mazlan berkata, mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk membuat tafsiran undang-undang dan menentukan kesahihan tindakan pihak terbabit, sekali gus mengelakkan pertikaian berpanjangan yang boleh menjejaskan pentadbiran negeri.
“Kalau setiap pihak mempunyai dakwaan masing-masing, kita tidak boleh mengatakan pihak mana yang benar. Mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk membuat tafsiran dan menentukan perkara tersebut.
“Pada akhirnya, perkara ini akan pergi ke mahkamah. Itu keputusan yang terbaik,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan kemelut politik dan perlembagaan di Negeri Sembilan.
Mazlan berkata, percanggahan pendirian antara pihak terbabit termasuk berkaitan kedudukan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) menunjukkan perkara berkenaan perlu diselesaikan melalui saluran undang-undang.
“Peguam Negara mengatakan bahawa penggantungan tugas SUK bersama pegawai penguat kuasa undang-undang itu tidak benar.
“Ketua Setiausaha Negara pula mengatakan perkara itu tidak benar berkaitan SUK. Jadi, kedua-dua pihak masih membuat dakwaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya pertikaian itu terus berlarutan sehingga menimbulkan krisis kuasa, keadaan berkenaan perlu ditangani segera bagi memastikan pentadbiran negeri tidak terjejas.
Katanya, tumpuan utama perlu diberikan kepada kepentingan dan keselamatan rakyat, bukannya membiarkan pertikaian politik serta perlembagaan berlarutan tanpa penyelesaian.
“Kalau perkara ini tidak dapat diselesaikan, ia boleh menyebabkan ketegangan dalam kalangan rakyat kerana kerajaan tidak dapat memberikan tumpuan untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Isunya sekarang ialah keselamatan. Ada pihak yang sudah bertindak dan keadaan tidak lagi harmoni,” katanya.
Beliau berkata, dalam keadaan tertentu, mekanisme undang-undang termasuk langkah berkaitan darurat boleh dipertimbangkan sebagai jalan terakhir sekiranya kemelut pentadbiran tidak dapat diselesaikan menerusi saluran sedia ada.
Mazlan berkata, sekiranya langkah itu diambil, pentadbiran negeri boleh diuruskan sehingga keadaan kembali stabil sebelum pilihan raya baharu diadakan bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan negeri.
“Itulah langkah terakhir sekiranya perkara ini tidak dapat diselesaikan, supaya kerajaan negeri dan rakyat dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
“Jika pilihan raya perlu diadakan, ia boleh menjadi pilihan terakhir,” katanya.
Mengulas pendirian UMNO dalam isu berkenaan, Mazlan berkata, parti itu perlu mengambil kira implikasi politik dan perlembagaan sebelum menentukan pendirian lanjut.

Beliau berkata, apa juga pendirian yang diambil perlu mengambil kira keperluan menghormati institusi Raja, undang-undang serta proses kehakiman bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih rumit.
“Kalau setiap pihak mempunyai dakwaan yang berbeza, kita tidak boleh menentukan siapa yang benar. Mahkamah mempunyai lebih hak untuk membuat tafsiran,” katanya.
Perkembangan itu berlaku selepas kemelut politik Negeri Sembilan turut menjadi perhatian susulan pertikaian berhubung proklamasi serta tindakan terhadap beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, isu berkenaan turut mendapat perhatian UMNO apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Menteri Besar Negeri Sembilan berhubung perkara berkaitan proklamasi.
Mazlan berkata, sebarang tindakan politik susulan isu berkenaan juga perlu mengambil kira kesan terhadap kestabilan pentadbiran negeri.
“Yang penting sekarang ialah bagaimana perkara ini dapat diselesaikan mengikut undang-undang supaya rakyat tidak terus terkesan,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya semua pihak terus berpegang kepada tafsiran masing-masing tanpa memberikan ruang kepada institusi kehakiman menentukan perkara itu, kemelut berkenaan berisiko menjadi lebih panjang.
“Pada akhirnya, mahkamah yang akan memberikan keputusan,” katanya.






