Belanjawan 2027 bakal tentukan hayat kerajaan Perlis?

KEDUDUKAN Kerajaan Negeri Perlis kini dilihat semakin rapuh susulan kemelut hubungan antara Pas dan Bersatu yang mencetuskan persoalan mengenai keabsahan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) menjelang pembentangan Belanjawan Perlis 2027 hujung tahun ini.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Datuk Hamdan Bahari berkata, isu utama yang perlu diberi perhatian ketika ini bukan sekadar pergolakan politik antara parti komponen kerajaan, sebaliknya melibatkan soal sokongan majoriti dalam DUN yang menjadi asas kepada sesebuah kerajaan untuk terus memerintah.

Menurut beliau, berdasarkan prinsip demokrasi berparlimen dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis 1948, sesebuah kerajaan perlu sentiasa memiliki kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Kerajaan boleh terus mentadbir selagi mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan. Namun apabila berlaku perubahan hubungan politik atau penarikan sokongan, maka timbul persoalan sama ada kerajaan masih mempunyai keabsahan untuk terus memerintah.

“Dalam sistem kita, ukuran sebenar bukan pada kenyataan politik di luar Dewan, tetapi apa yang berlaku ketika proses pengundian dijalankan,” katanya kepada pengamal media di sini hari ini.

Hamdan berkata, ujian paling besar terhadap kerajaan negeri dijangka berlaku ketika pembentangan Belanjawan Perlis 2027 yang lazimnya dianggap sebagai usul keyakinan terhadap kerajaan.

Katanya, belanjawan bukan sekadar dokumen kewangan tahunan, malah menjadi kayu ukur paling penting bagi menentukan sama ada kerajaan masih memperoleh sokongan majoriti ADUN.

“Jika belanjawan diluluskan, ia menunjukkan kerajaan masih mempunyai sokongan yang mencukupi untuk mentadbir negeri.

“Sebaliknya jika belanjawan ditolak, ia memberi gambaran bahawa kerajaan telah kehilangan kepercayaan majoriti dalam Dewan dan keadaan itu mempunyai implikasi perlembagaan yang besar,” katanya.

Belanjawan negeri memainkan peranan penting kerana kegagalannya diluluskan boleh menjejaskan keseluruhan perjalanan pentadbiran kerajaan termasuk pembayaran emolumen penjawat awam negeri, operasi jabatan, pelaksanaan dasar serta program pembangunan yang dirancang.

Selain menjejaskan perbelanjaan mengurus, keadaan itu turut berpotensi mengganggu pelaksanaan projek pembangunan negeri yang memerlukan kelulusan peruntukan bagi tahun berikutnya.

Hamdan berkata, berdasarkan Perkara 39(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis, Menteri Besar perlu mempersembahkan kedudukan tersebut kepada Raja Perlis sekiranya kerajaan gagal memperoleh sokongan majoriti.

Katanya, pada ketika itu Raja Perlis mempunyai pilihan sama ada melantik Menteri Besar baharu yang diyakini mendapat sokongan majoriti ADUN atau memperkenankan pembubaran DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Beliau berkata, perkembangan politik semasa menyebabkan Belanjawan Perlis 2027 berpotensi menjadi penentu kepada kelangsungan kerajaan negeri yang dipimpin PN.

“Dalam sistem Westminster, kegagalan meluluskan belanjawan sering dianggap sebagai petunjuk bahawa kerajaan sudah hilang mandat untuk mentadbir.

“Sebab itu saya melihat belanjawan akan menjadi medan sebenar untuk menguji kekuatan kerajaan negeri selepas perkembangan politik yang berlaku ketika ini,” katanya.

Untuk rekod, Belanjawan Perlis bagi tahun berikutnya lazimnya dibentangkan pada penghujung tahun. Sebarang ketidaktentuan politik termasuk kemungkinan pilihan raya negeri boleh memberi kesan kepada proses perancangan serta pelaksanaan dasar kerajaan.

Dalam satu lagi senario, Raja Perlis juga boleh memperkenankan pelantikan Menteri Besar baharu sekiranya terdapat ADUN lain yang mampu membuktikan sokongan majoriti Dewan tanpa perlu membubarkan DUN.

Hamdan turut berpandangan bahawa pilihan raya negeri lebih awal mungkin menjadi jalan penyelesaian paling jelas sekiranya kemelut politik berterusan tanpa formula yang mampu menjamin kestabilan pentadbiran.

“Rakyat berhak mendapat sebuah kerajaan yang mempunyai mandat jelas dan tidak sentiasa dibayangi persoalan sama ada masih mempunyai sokongan majoriti atau sebaliknya.

“Pada akhirnya, keabsahan sesebuah kerajaan bukan ditentukan oleh persepsi politik, tetapi oleh sokongan yang dapat dibuktikan dalam Dewan,” katanya.

Info penting:

Perlis memiliki 15 kerusi

Kedudukan semasa kerusi DUN mengikut parti politik

6 Pas

5 Bersatu

1 PKR

3 kerusi dikosongkan

Speaker: Pas

Perkembangan terkini: Pas mengumumkan tiada lagi kerjasama politik dengan Bersatu walaupun dalam kerajaan PN negeri masih wujud. 

..

Foto: NSTP

  • Related Posts

    Projek SSMP tidak boleh terbengkalai kali keempat

    PADANG BESAR – Projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis (SSMP) di Bukit Chabang yang terbengkalai selama 11 tahun tidak boleh lagi berulang sehingga menjadi satu kebiasaan. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca
    Wan Rosdy anggap pemergian Mohd Radzi kehilangan besar UMNO Pahang

    KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan pemergian Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Allahyarham Mohd Radzi Rahim yang meninggal dunia dalam kejadian pokok tumbang di…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca

    Perlu dibaca

    Projek SSMP tidak boleh terbengkalai kali keempat

    Projek SSMP tidak boleh terbengkalai kali keempat

    Wan Rosdy anggap pemergian Mohd Radzi kehilangan besar UMNO Pahang

    Wan Rosdy anggap pemergian Mohd Radzi kehilangan besar UMNO Pahang

    PDRM Sabah perhebat kerjasama strategik dengan Polis Indonesia

    PDRM Sabah perhebat kerjasama strategik dengan Polis Indonesia

    Hajiji sampaikan bantuan YKS RM30,600 pada 102 KIR terjejas banjir

    Hajiji sampaikan bantuan YKS RM30,600 pada 102 KIR terjejas banjir

    Penduduk rayu tindakan segera atasi ancaman gajah liar di Batu Puteh

    Penduduk rayu tindakan segera atasi ancaman gajah liar di Batu Puteh

    Empat maut Ford Raptor dihempap pokok tumbang

    Empat maut Ford Raptor dihempap pokok tumbang