
KOTA KINABALU – Kerajaan MADANI menerusi Institut Integriti Malaysia melancarkan Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (National Integrity Enculturation Strategy – NIES).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, NIES merupakan satu inisiatif strategik negara yang dirangka secara lebih menyeluruh, progresif, sistematik dan berterusan untuk memperkukuh budaya integriti dalam segenap lapisan masyarakat.
“Pelaksanaan strategi tersebut akan menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang lebih beretika, telus dan bertanggungjawab, selaras dengan agenda reformasi institusi yang sedang dilaksanakan kerajaan.
“Peluncuran NIES pada hari ini menandakan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk mengakar budaya integriti sebagai asas kepada pembangunan negara yang mampan, beretika dan berdaya tahan,” katanya.
Sementara itu, pengumuman pelbagai inisiatif berkaitan Rukun Negara, patriotisme, pemeliharaan sejarah dan pembudayaan integriti dilihat mencerminkan pendekatan holistik kerajaan dalam memperkukuh pembinaan negara bangsa.
“Langkah ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan dan perpaduan nasional, malah menekankan kepentingan integriti sebagai elemen asas dalam memastikan kemajuan negara dapat dicapai secara mampan dan inklusif.
“Dengan penglibatan ribuan sekolah, institusi pengajian tinggi serta pelbagai agensi kerajaan, inisiatif berkenaan dijangka memberi impak besar terhadap usaha memperkukuh identiti nasional dan keharmonian masyarakat majmuk Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri meluncurkan projek Southern MADANI Link di Dewan Lundayeh, Sipitang dan seterusnya ke Program Melangkah Bersama MADANI; Wanita Beriman, Wanita Bertahan Peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) sebelum ke Likas bagi merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2026 bertempat di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu.





