Kepimpinan Bersatu Besut letak jawatan, isyarat krisis dalaman semakin parah

BESUT – Kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat semakin meruncing apabila sekumpulan pemimpin utama Bersatu Bahagian Besut mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta dalam satu pertemuan khas yang diadakan di kediaman Ketua Bahagian Bersatu Besut, Datuk Wan Arif Rashiddin Wan Jusoh.

Pertemuan yang dihadiri seramai 19 pemimpin parti di pelbagai peringkat termasuk bahagian, cawangan dan negeri itu turut melibatkan Timbalan Ketua Bahagian Wan Haji Sani, Setiausaha Bahagian En Hisam, Bendahari Cikgu Sharani, Ketua Penerangan Cikgu Azizul, ahli jawatankuasa bahagian, pengerusi-pengerusi penyelaras, ketua-ketua cawangan serta ahli-ahli Bersatu Bahagian Besut.

Menurut sumber yang hadir, pertemuan tersebut diadakan bagi menyatakan pendirian berhubung konflik terkini yang melanda Bersatu di peringkat nasional.

Hasil perbincangan itu menyaksikan kesemua yang hadir mencapai kata sepakat untuk meninggalkan parti kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi Bersatu.

Mereka mendakwa Presiden Bersatu gagal mengurus hubungan dengan parti-parti komponen sehingga membawa kepada perpecahan besar dalam gabungan pembangkang.

Selain itu, pengurusan isu pemecatan beberapa ahli Parlimen dan pemimpin parti disifatkan tidak dilakukan secara berhemah sehingga menimbulkan keresahan dan perpecahan dalam kalangan akar umbi.

Turut dibangkitkan ialah dakwaan bahawa keputusan parti terlalu dipengaruhi oleh beberapa individu tertentu di peringkat pusat sehingga pandangan pemimpin lain tidak lagi diberikan perhatian sewajarnya.

Perkembangan terbaru ini dilihat menambah tekanan terhadap Bersatu Terengganu yang kini berdepan cabaran besar susulan keretakan hubungan politik antara Pas dan Bersatu.

Selepas keputusan Pas menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu, pelbagai pihak menjangkakan kedudukan Bersatu di negeri itu akan semakin lemah, khususnya di kawasan-kawasan yang selama ini bergantung kepada kekuatan jentera Pas.

Tindakan pemimpin Bersatu Besut meninggalkan parti secara beramai-ramai juga merupakan petunjuk jelas bahawa krisis keyakinan terhadap kepimpinan pusat bukan lagi isu terpencil, sebaliknya mula merebak ke peringkat akar umbi.

Situasi itu juga berpotensi memberi kesan kepada struktur organisasi Bersatu di Terengganu menjelang persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang, terutama apabila parti tersebut kehilangan sokongan daripada rakan politik utamanya di negeri itu.

Dalam masa yang sama, kumpulan pemimpin yang meletakkan jawatan itu memaklumkan mereka masih mahu meneruskan perjuangan politik dan khidmat kepada rakyat, khususnya di daerah Besut.

Justeru, mereka bersepakat untuk memberikan sokongan kepada gerakan “Team RESET” yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin.

Perkembangan ini dijangka menjadi antara episod paling signifikan dalam krisis dalaman Bersatu ketika parti itu berdepan cabaran mempertahankan pengaruh politiknya selepas hubungan dengan Pas berakhir, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hala tuju masa depan Bersatu di Terengganu.

Related Posts

Ceraikan Bersatu hanya alasan keluar PN untuk bersama Hamzah dan Reset

PUTRAJAYA – Penamatan kerjasama Pas terhadap Bersatu hanyalah alasan dalam mencari jalan keluar agar dapat bergerak bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin serta gerakan dikaitkan dengan ‘Reset’. Sumber tertinggi Bersatu memaklumkan,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Reaksi bercampur di Terengganu susulan keputusan tamat kerjasama Bersatu-Pas

HULU TERENGGANU — Keputusan Pas untuk menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu terus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat di Terengganu, khususnya di kawasan Hulu Terengganu, dengan sebahagian melihat langkah itu…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

UMS Hospitality Fiesta 2.0 beri pendedahan awal suasana sebenar industri hospitaliti

UMS Hospitality Fiesta 2.0 beri pendedahan awal suasana sebenar industri hospitaliti

DBKK perkukuh usaha jaga kebersihan perkampungan air sokong pelancongan

DBKK perkukuh usaha jaga kebersihan perkampungan air sokong pelancongan

Kepimpinan Bersatu Besut letak jawatan, isyarat krisis dalaman semakin parah

Kepimpinan Bersatu Besut letak jawatan, isyarat krisis dalaman semakin parah

12 PATI warga Myanmar bersembunyi dalam hutan ditahan PGA

12 PATI warga Myanmar bersembunyi dalam hutan ditahan PGA

Ceraikan Bersatu hanya alasan keluar PN untuk bersama Hamzah dan Reset

Ceraikan Bersatu hanya alasan keluar PN untuk bersama Hamzah dan Reset

Pembukaan SA Mart di Mahkota Square bantu perluas pasaran produk IKS

Pembukaan SA Mart di Mahkota Square bantu perluas pasaran produk IKS