PUTRAJAYA – Penamatan kerjasama Pas terhadap Bersatu hanyalah alasan dalam mencari jalan keluar agar dapat bergerak bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin serta gerakan dikaitkan dengan ‘Reset’.
Sumber tertinggi Bersatu memaklumkan, Pas sudah terlalu lama terbuka mempertahankan Hamzah walaupun Bersatu mengambil tindakan memecat pemimpin itu kerana didakwa membelakangkan parti serta Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut beliau, Pas bersikap mahu menjadi ‘abang besar’ dalam Perikatan Nasional (PN) sehingga banyak campur tangan dalam urusan dalaman Bersatu serta mengadakan rundingan dengan pihak luar tanpa dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN.
“Kita sudah tahu lama ura-ura Pas ingin tamatkan kerjasama politik bersama Bersatu dan menjadi semakin memuncak selepas parti mengambil keputusan memecat Hamzah Zainuddin.
“Sebenarnya matlamat Pas ketika ini bukanlah mengutamakan penyatuan ummah selepas tidak bersama Bersatu, itu hanyalah alasan mereka agar dapat bergabung dengan Hamzah dan kem Reset.
“Walaupun mereka juga mahu bersama UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, perkara tersebut mungkin mustahil direalisasikan kerana (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi tidak berhasrat untuk bersama Pas di bawah naungan Muafakat Nasioanal (MN) ,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Mengulas lanjut, sumber memaklumkan, jika mahu dibangkitkan soal pengkhianatan yang dilakukan Pas, banyak perkara lain juga boleh dipersoalkan termasuk isu membabitkan apa yang digelar sebagai ‘Langkah Bangkok’.
Katanya, Bersatu sebelum ini mengambil tindakan tegas memecat beberapa individu yang didakwa mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid di Bangkok tanpa pengetahuan kepimpinan parti.
“Bersatu ambil tindakan pecat terhadap mereka yang pergi berjumpa Ahmad Zahid di Bangkok kerana dianggap melanggar disiplin dan mengkhianati parti.
“Tetapi apa pula tindakan Pas terhadap Takiyuddin dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut dikaitkan dengan pertemuan itu.
“Bukankah tindakan pergi berjumpa Ahmad Zahid tanpa memaklumkan kepada Muhyiddin dan kepimpinan Bersatu juga boleh dianggap melanggar semangat setiakawan dalam PN.
Tambahnya, Bersatu tidak pernah membangkitkan perkara berkenaan secara terbuka demi menjaga kestabilan gabungan.
“Kalau mahu buka satu demi satu isu dalaman, memang banyak perkara boleh dipersoalkan tetapi selama ini Bersatu memilih untuk tidak mengeruhkan keadaan secara terbuka dan hanya mengambil tindakan terhadap pemimpin yang bersalah.
“Tetapi apa dilakukan Pas ketika ini seolah-olah pembersihan atau penyelesaian masalah dalam Bersatu tidak dipersetujui mereka sehingga mencari pelbagai helah dan alasan agar mereka dapat putusakan hubungan dengan kita,” katanya.






