
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah menyambut baik pandangan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berhubung keperluan memastikan manfaat pertumbuhan industri pelancongan, khususnya di Semporna, dapat dinikmati secara lebih meluas oleh rakyat tempatan melalui peningkatan penglibatan dan pemilikan mereka dalam sektor-sektor berkaitan pelancongan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Jafry Ariffin berkata, pembangunan industri pelancongan perlu berlaku secara seimbang dan inklusif agar manfaat ekonomi yang dijana bukan sahaja menarik pelaburan dan meningkatkan jumlah ketibaan pelancong, malah turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat Sabah.
“Saya mengambil maklum pandangan yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung keperluan memastikan manfaat pertumbuhan industri pelancongan, khususnya di Semporna, dapat dinikmati secara lebih meluas oleh rakyat tempatan.
“Sebagai antara destinasi pelancongan paling terkenal di Malaysia dan rantau ini, Semporna telah mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan hasil peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa dan domestik dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Pada tahun 2025, daerah Semporna merekodkan seramai 560,077 ketibaan pelancong, manakala bagi tempoh Januari hingga April 2026 sahaja, sebanyak 157,673 pelancong telah direkodkan mengunjungi daerah tersebut.
“Statistik ini membuktikan bahawa Semporna terus menjadi antara pemacu utama industri pelancongan Sabah dan destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara.
“Pertumbuhan ini sememangnya disokong oleh pelbagai pihak termasuk pelabur, pengusaha pelancongan, komuniti setempat dan agensi Kerajaan,” ujarnya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.
Menurut Jafry, KePKAS juga mengalu-alukan pelaburan yang sah, bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang dalam memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan daya saing industri pelancongan Sabah, meningkatkan kualiti produk pelancongan serta membuka peluang pekerjaan dan perniagaan.
“Namun demikian, kementerian berpandangan bahawa pembangunan industri pelancongan mesti berlaku secara seimbang dan inklusif.
“Pertumbuhan sektor ini tidak seharusnya hanya diukur melalui jumlah ketibaan pelancong atau nilai pelaburan semata-mata, tetapi juga melalui sejauh mana manfaat ekonomi yang dijana dapat dirasai secara langsung oleh rakyat Sabah, khususnya komuniti tempatan yang menjadi tulang belakang kepada industri pelancongan negeri ini.
“Sehubungan itu, KePKAS mengambil serius perkara yang dibangkitkan oleh YAB Perdana Menteri mengenai penglibatan dan pemilikan dalam sektor-sektor berkaitan pelancongan termasuk pengangkutan pelancong, penginapan, agensi pelancongan, restoran dan perkhidmatan sokongan yang lain,” kongsinya.
Tambahnya lagi, KePKAS percaya rakyat tempatan perlu diberikan peluang yang lebih besar untuk mengambil bahagian dalam keseluruhan rantaian nilai industri pelancongan, sama ada sebagai usahawan, pemilik perniagaan, penyedia perkhidmatan, pekerja mahir mahupun rakan strategik dalam pembangunan destinasi pelancongan.
“Kerajaan Negeri Sabah sememangnya konsisten dalam memastikan rakyat tempatan menjadi penerima manfaat utama daripada setiap aktiviti ekonomi yang berlaku di negeri ini.
“Prinsip ini turut terpakai dalam sektor pelancongan, di mana penglibatan, pemilikan dan penyertaan aktif rakyat Sabah dalam perniagaan serta perkhidmatan berkaitan pelancongan perlu terus diperkasakan.
“Pertumbuhan industri pelancongan akan lebih bermakna apabila ia bukan sahaja menarik pelaburan dan meningkatkan jumlah ketibaan pelancong, tetapi turut mewujudkan peluang ekonomi yang lebih besar kepada komuniti tempatan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, usaha pemantauan dan penguatkuasaan sedang diperkukuhkan bagi memastikan semua aktiviti pelancongan beroperasi secara telus, mematuhi undang-undang serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan secara mampan khususnya di Semporna.
“Kementerian akan terus bekerjasama dengan semua agensi berkaitan untuk mengenal pasti sebarang kelemahan dalam pelaksanaan dasar sedia ada dan mengambil langkah penambahbaikan yang sewajarnya.
“Matlamat kita adalah jelas, Sabah kekal terbuka kepada pelaburan berkualiti yang mematuhi undang-undang dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
“Namun pada masa yang sama, kita mahu memastikan bahawa manfaat daripada pertumbuhan sektor pelancongan dapat dinikmati secara adil, inklusif dan mampan oleh rakyat Sabah sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jury berkata, KePKAS juga akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, agensi-agensi berkaitan serta pemain industri bagi memastikan sektor pelancongan Sabah terus berkembang sebagai pemacu ekonomi negeri sambil menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat tempatan.
Terdahulu, ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat segelintir warga asing yang memasuki negara menggunakan visa pelancong atau atas status pelawat, namun menyalahgunakan kemudahan tersebut untuk menjalankan aktiviti perniagaan.
Beliau berkata, antara tindakan penguatkuasaan yang telah diambil termasuk di Semporna, Sabah, membabitkan peniaga dari China yang didapati mengendalikan restoran, syarikat pelancongan, agensi serta kenderaan pelancongan, sekali gus menjejaskan peluang ekonomi penduduk tempatan.






