Dr Dzulkefly gesa penganjur RXZ Members utamakan pesanan pemanduan berhemah

SHAH ALAM – Siri kemalangan maut membabitkan program RXZ Members dari edisi pertama hingga ke penganjuran kelapan baru-baru ini amat merisaukan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Susulan itu, beliau menyarankan agar pihak penganjur memikul tanggungjawab moral bagi memastikan keselamatan setiap peserta terjamin. 

“Kepada pihak penganjur program konvoi mega sebegini, saya menyokong penuh niat baik dan semangat silaturahim yang dianjurkan. 

“Penganjur mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan keselamatan setiap peserta terjamin. 

“Saranan saya, pastikan pesanan pemanduan berhemah dan advokasi keselamatan jalan raya dijadikan agenda wajib dalam setiap penganjuran agar insiden nyawa melayang sia-sia akibat kelajuan tidak lagi berulang,” katanya menerusi Facebook pada Ahad.

Menurutnya, setiap kali aktiviti menghimpunkan peminat permotoran menyaksikan peningkatan kes kemalangan jalan raya di jabatan kecemasan hospital seluruh negara, termasuk yang meragut nyawa.

Media pada 31 Julai melaporkan, tiga penunggang motosikal maut dan dua parah dalam empat kemalangan berasingan di tiga daerah di Pahang ketika berkonvoi untuk menghadiri Program RXZ Members 8.0 di Kuala Terengganu.

Terbaharu, pada Ahad, seorang penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 356, Lebuhraya Pantai Timur 2 berhampiran Bukit Besi, Dungun.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, nahas jalan raya kini merupakan antara cabaran kesihatan awam paling serius di negara ini dan menjadi penyumbang kelima tertinggi kepada kematian pramatang di Malaysia.

Beliau berkata, berdasarkan Indeks Kematian Jalan Raya Malaysia oleh Kementerian Pengangkutan (MoT), secara purata seramai 18 individu maut setiap hari akibat kemalangan jalan raya.

“Lebih membimbangkan, sebanyak 59 peratus daripada jumlah kematian tersebut melibatkan golongan penunggang motosikal,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan kecemasan dan trauma di semua hospital Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa mangsa kemalangan jalan raya.

Dzulkefly juga menggesa masyarakat supaya mengubah mentaliti ketika berada di jalan raya dengan mengutamakan keselamatan berbanding kelajuan.

“Segala fasiliti dan sumber perubatan di hospital boleh diganti, namun nyawa yang hilang pasti tiada galang gantinya. Jadikan keselamatan nyawa sebagai keutamaan sebelum memulas pendikit jentera dan ingatlah wajah insan tersayang yang menanti kepulangan anda di rumah,” katanya.

“Justeru, sudah tiba masanya kita mengubah mentaliti ekstrem di jalan raya. Hentikan penggunaan slogan lama, ayuh budayakan slogan baharu yang lebih membawa mesej kesederhanaan dan keselamatan: “Yang Santai, Pasti Sampai”.

“Slogan ini amat penting bagi menekankan aspek tunggangan berhemah, mematuhi had laju, dan menyasarkan kemalangan sifar. Jadikan keselamatan nyawa sebagai keutamaan mutlak sebelum memulas pendikit jentera anda. Ingatlah wajah insan tersayang yang sentiasa mendoakan kepulangan anda di rumah,” katanya.

Untuk rekod, penganjuran RXZ Members 8.0 menarik lebih 200,000 peserta, menjadikan edisi kali ini paling mendapat sambutan sejak ia mula dianjurkan pada 2017.

Related Posts

Pengeluaran jagung bijian tempatan mampu bantu stabilkan harga ayam, telur

SEPANG – Harga produk asas seperti ayam dan telur dijangka mampu stabil apabila pengeluaran jagung bijian tempatan secara berskala besar dilaksanakan. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Tahap integriti penjawat awam makin baik

KUALA LUMPUR – Tahap integriti dalam kalangan penjawat awam menunjukkan trend peningkatan yang positif, susulan pelbagai inisiatif dan mekanisme pengukuhan nilai yang diperkenalkan kerajaan bagi memperkasakan perkhidmatan awam. Ketua Setiausaha…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

RM1.57 bilion perkukuh pembangunan kesihatan Sabah

RM1.57 bilion perkukuh pembangunan kesihatan Sabah

PH akan teliti mesej Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

PH akan teliti mesej Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

Polis sahkan kedai emas Genting Highlands dirompak

Polis sahkan kedai emas Genting Highlands dirompak

LDP Sandakan sedia rebut semula kepercayaan pengundi

  • By Fandi
  • August 17, 2026
LDP Sandakan sedia rebut semula kepercayaan pengundi

RM57.5 bilion dalam separuh tahun, KWSP catat lonjakan 48 peratus

RM57.5 bilion dalam separuh tahun, KWSP catat lonjakan 48 peratus

MBSA sedia 300 hidangan percuma di Seksyen 24 esok

MBSA sedia 300 hidangan percuma di Seksyen 24 esok