Gawai Dayak platform perkukuh perpaduan, warisan budaya dan daya saing rakyat Sarawak

KUCHING – Sambutan Hari Gawai Dayak bukan sekadar perayaan menuai hasil tuaian, malah menjadi wadah penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum, memelihara warisan budaya serta memperkasa daya saing rakyat Sarawak menghadapi cabaran masa depan.

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Gawai Dayak yang disambut pada setiap 1 Jun merupakan simbol kebanggaan dan jati diri masyarakat Dayak yang mencerminkan kekayaan budaya serta tradisi warisan yang perlu terus dipelihara.

Menurut beliau, kekuatan sebenar Sarawak terletak pada kepelbagaian etnik dan budaya yang hidup dalam suasana harmoni di bawah naungan negara Malaysia yang berdaulat.

“Tradisi masyarakat Dayak adalah khazanah penting yang wajib dipelihara agar generasi muda tidak kehilangan punca dan melupakan akar budaya mereka.

“Gawai Dayak juga berperanan sebagai jambatan untuk memperkukuh tali kekeluargaan dan persaudaraan antara masyarakat pelbagai kaum selaras dengan konsep Segulai Sejalai yang menjadi teras kebersamaan rakyat Sarawak,” katanya dalam Perutusan Hari Gawai Dayak 2026 pada Ahad.

Beliau berkata, amalan adat ngabang atau tradisi rumah terbuka yang diamalkan secara meluas sepanjang perayaan itu menjadi bukti kukuh semangat perpaduan rakyat negeri ini apabila masyarakat saling mengunjungi tanpa mengira latar belakang.

Dalam pada itu, Wan Junaidi turut mengiktiraf sumbangan besar masyarakat Dayak dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, perladangan, perkhidmatan awam, swasta dan bidang profesional yang telah membantu memacu kemajuan Sarawak di peringkat nasional dan antarabangsa.

Menurutnya, usaha memperkukuh kemahiran, penguasaan teknologi, pendidikan, keusahawanan dan kepimpinan perlu terus dipertingkatkan seiring aspirasi Sarawak menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Ekonomi Digital dan Ekonomi Hijau menuntut rakyat sentiasa bersedia dengan ilmu serta keupayaan menyesuaikan diri dengan teknologi baharu.

“Namun dalam mengejar kemajuan, nilai murni dan adat resam mesti terus dipertahankan kerana itulah identiti unik yang membentuk keistimewaan masyarakat Dayak,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan pendidikan, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan masyarakat Bumiputera tidak tercicir dalam arus pembangunan ekonomi moden.

Katanya, kecenderungan memilih bidang pengajian yang kurang mempunyai nilai pasaran boleh menyebabkan golongan Bumiputera terlepas peluang pekerjaan bernilai tinggi yang ditawarkan sektor industri berimpak tinggi.

Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa dan pemimpin masyarakat memainkan peranan aktif membimbing generasi muda memilih laluan pendidikan yang selari dengan keperluan semasa.

Mengulas mengenai masa depan negeri, Wan Junaidi yakin masyarakat Dayak bersama Bumiputera lain akan terus memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi tradisional dan menerajui bidang teknologi moden.

Beliau berkata, kejayaan Sarawak di pentas global hari ini merupakan hasil usaha kolektif semua kaum yang sentiasa mengekalkan disiplin, integriti dan daya tahan tinggi.

“Semoga sambutan Hari Gawai Dayak tahun ini bukan sahaja meriah dengan keraian, malah menjadi titik tolak untuk memperbaharui azam membina Sarawak yang lebih inklusif, progresif dan mampan.

“Marilah kita terus memelihara perpaduan antara kaum dan melindungi bumi Sarawak demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Gawai Dayak 2026, Gayu Guru Gerai Nyamai, Lantang Senang Nguan Menua kepada seluruh masyarakat Dayak di Sarawak dan di mana sahaja mereka berada.

Related Posts

Sebuah SUV terjunam dalam lombong, tiada mangsa ditemukan

IPOH – Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis BMW X5 yang ditemukan terjunam ke dalam sebuah lombong berhampiran Klinik Desa Kampung Sungai Terap, Batu Gajah, malam Rabu, disahkan tidak melibatkan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Presiden PRBS mengaku tidak salah guna jawatan libatkan peruntukan RM2 juta

KOTA KINABALU – Presiden Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah (PRBS), Makinsos Nawai, 67, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mendapatkan peruntukan pembinaan Dewan Kebudayaan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pengundi Negeri Sembilan tolak retorik politik, pilih kesinambungan pentadbiran PH

Pengundi Negeri Sembilan tolak retorik politik, pilih kesinambungan pentadbiran PH

Laporan RCI TH perlu didedah segera, rakyat ada hak tahu kebenaran

Laporan RCI TH perlu didedah segera, rakyat ada hak tahu kebenaran

PH tawar kestabilan, BN masih cari formula kemenangan – Ustaz Shahir

PH tawar kestabilan, BN masih cari formula kemenangan – Ustaz Shahir

TH raih dua anugerah berprestij pengurusan hartanah

TH raih dua anugerah berprestij pengurusan hartanah

BN tidak pernah berubah, kekal bersama Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal – Ahmad Zahid

BN tidak pernah berubah, kekal bersama Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal – Ahmad Zahid

Pas gunakan penyatuan Melayu untuk dapatkan kuasa – Faiz Fadzil

Pas gunakan penyatuan Melayu untuk dapatkan kuasa – Faiz Fadzil