PUTRAJAYA – Ibadah korban bukan hanya melibatkan penyembelihan haiwan dan pengaliran darah, tetapi turut menjadi manifestasi rasa kesyukuran kepada Allah SWT, khususnya sebagai penutup tahun hijrah.
Pensyarah Jabatan Fiqh-Usul & Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli berkata, ibadah tersebut lazimnya menuntut pengorbanan harta berbentuk wang ringgit bagi memperoleh haiwan korban seperti unta, lembu, kerbau atau kambing.
Bagaimanapun, katanya, kenaikan kos harga haiwan korban menyebabkan masyarakat Islam memilih untuk tidak melaksanakan ibadah korban kerana kekangan kewangan, khususnya apabila bayaran perlu dijelaskan dalam satu pembayaran
“Situasi tersebut turut memberi kesan terhadap pengurusan perbelanjaan bulanan akibat ketidakseimbangan dan peningkatan penggunaan wang dalam tempoh berkenaan.
“Sesungguhnya ibadah korban tidak dinamakan sebagai korban sekiranya tidak melibatkan pengorbanan harta benda dan wang ringgit dalam pelaksanaannya,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Sehubungan itu, bagi mereka yang sukar menyediakan wang secara tunai sekaligus, Mohd Anuar berpandangan, amalan menabung sejak awal tahun hijrah merupakan satu langkah yang wajar bagi mengumpulkan dana untuk melaksanakan ibadah korban, khsusnya umat Islam yang mempunyai keterbatasan tertemtu dalam kemampuan kewangan.
Menurut beliau, sekiranya keadaan tersebut berterusan tanpa sebarang perancangan, maka ketidakmampuan untuk melaksanakan ibadah korban akan terus berpanjangan hingga ke akhir hayat.
“Hal ini merupakan satu kerugian kerana ibadah korban hanya disyariatkan sekali dalam setahun. Oleh itu, amalan menabung menjadi solusi yang praktikal bagi memastikan umat Islam memiliki kemampuan kewangan menjelang bulan Zulhijjah.
“Majoriti ulama meletakkan hukum korban sebagai sunat mu’akkad bagi mereka yang berkemampuan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Ibn Majah, Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang memiliki kemampuan harta tetapi tidak melakukan korban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami”.
“Hadis tersebut menunjukkan bahawa ibadah korban merupakan satu tuntutan bagi mereka yang berkemampuan, bahkan terdapat unsur ancaman terhadap golongan yang bakhil dan tidak mengambil berat untuk melaksanakan ibadah korban,” katanya.

Mohd Anuar berkata, umat Islam perlu merebut peluang tersebut susulan ibadah korban tidak disyariatkan secara sia-sia, bahkan sarat dengan hikmah yang bersifat fizikal mahupun spiritual seperti dalam firman Allah menerusi Surah al-Haj ayat 37 bahawa daging dan darah haiwan korban tidak sampai kepada Allah SWT, sebaliknya yang diterima ialah keikhlasan dan ketakwaan orang yang melaksanakannya.
“Justeru, umat Islam digalakkan melaksanakan ibadah korban bagi menyempurnakan tuntutan syariat. Amalan ini perlukan pengorbanan wang ringgit dan harta benda. Jika tidak mampu bayar sekaligus, boleh pilih membuat simpanan secara ansuran sejak awal tahun agar perbelanjaan bulanan tidak terjejas.
“Jika tidak, sampai bila-bila pun kita akan merasakan diri tidak mampu untuk berkorban, sebaliknya dalam masa yang sama kita masih mampu menabung untuk aktiviti dan program lain. Sedangkan tabungan untuk ibadah korban sangat bermanfaat sebagai bekalan di akhirat kelak,” katanya.
Sementara itu, katanya sikap menghindarkan diri (escapism) daripada melaksanakan ibadah korban juga perlu dielakkan susulan ia sememangnya dibina atas dasar pengorbanan, ketaatan, keikhlasan dan kesediaan melepaskan sesuatu yang disayangi demi Allah SWT.
“Kadangkala seseorang sentiasa mencipta alasan berkaitan kekangan kewangan, sedangkan dalam masa yang sama dia mampu berbelanja untuk perkara lain. Bahkan, ada yang cuba menenangkan hati dengan pelbagai justifikasi agar tidak berasa bersalah apabila meninggalkan ibadah tersebut.
“Namun begitu, bagi mereka yang benar-benar tidak mampu, syariat tidak membebankan mereka. Bahkan, mereka termasuk dalam sebahagian kelompok yang layak menerima agihan daging korban.
“Justeru, mulakanlah azam untuk berkorban dan susunlah langkah awal dengan menabung. Sekiranya tabungan masih belum mencukupi dalam tempoh setahun, maka teruskan lagi untuk tahun berikutnya dan seterusnya, asalkan wujud niat dan usaha untuk melaksanakan ibadah korban,” katanya.









