
KUANTAN – Pertubuhan Cancer Support Pahang (CSP) menjalin kerjasama strategik dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Pahang sempena Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2026 peringkat negeri.
Pengerusi CSP, Zaridah Hashim berkata, kerjasama itu dimeterai menerusi penyertaan CSP dalam program kesedaran di sebuah pasar raya di bandar raya Kuantan, hari ini.
“Sebagai tanda sokongan terhadap usaha meningkatkan kesedaran kanser payudara, CSP turut membuka gerai pameran yang menjadi platform memperkenalkan peranan, aktiviti dan usaha pertubuhan itu dalam memberikan sokongan kepada pesakit kanser dan keluarga mereka,” katanya.
Majlis perasmian sambutan itu dilakukan Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan.
Zaridah memaklumkan, penyertaan CSP dalam acara itu membuka ruang kepada pihaknya berinteraksi secara langsung dengan pengunjung.
Katanya, pihak CSP berperanan menyampaikan maklumat berkaitan sokongan komuniti kanser serta menggalakkan masyarakat agar lebih peka terhadap kepentingan pengesanan awal kanser payudara.
“Jalinan kerjasama strategik bersama LPPKN Pahang diharapkan dapat diteruskan dan diperkukuh pada masa akan datang.
“Ia bagi memperluas usaha advokasi, meningkatkan kesedaran masyarakat serta memastikan pesakit kanser dan keluarga mereka terus mendapat sokongan yang sewajarnya,” katanya.






