
TAWAU – Masyarakat diseru mengurangkan stigma terhadap individu yang mengalami masalah kesihatan mental selain memberikan sokongan dan galakan kepada mereka untuk mendapatkan rawatan sewajarnya.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, seruan itu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dan komuniti mengenai kepentingan kesihatan mental.
“Kita melihat masih terdapat kekurangan dari segi kesedaran masyarakat terhadap isu kesihatan mental, sehingga wujud stigma terhadap individu yang mengalami masalah berkenaan.
“Stigma ini menyebabkan mereka kurang mendapat dorongan, kata-kata semangat dan sokongan yang diperlukan,” katanya kepada media selepas merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2026 peringkat Hospital Tawau, di Padang Bandaran Tawau, pada Sabtu.

Menurut Suryady, masyarakat juga perlu memahami bahawa masalah kesihatan mental tidak semestinya dapat dilihat secara fizikal.
“Luaran kita boleh nampak, tetapi masalah kesihatan mental ini berlaku secara dalaman.
“Jadi, kita perlu memahami keadaan mereka dan memberikan galakan untuk mendapatkan rawatan di tempat yang sepatutnya, seperti pergi ke hospital dan berjumpa dengan pakar,” ujarnya.
Tambahnya, individu yang memerlukan bantuan boleh mendapatkan perkhidmatan berkaitan kesihatan mental dan kaunseling yang disediakan termasuk di Hospital Tawau.
“Usaha meningkatkan kesedaran amat penting memandangkan isu kesihatan mental semakin membimbangkan dan memerlukan perhatian semua pihak.
“Kalau kita lihat masalah yang berlaku di negara kita sekarang, sama ada di sekolah mahupun dalam masyarakat, salah satu faktor yang berkaitan adalah kesihatan mental.
“Jadi, melalui saranan dan usaha pihak berwajib serta kerajaan dengan sokongan hospital menerusi unit kesedaran kesihatan mental dan kaunseling, sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan masalah atau gejala yang berlaku ketika ini, “jelasnya.
Beliau turut menyentuh berkaitan kejadian pergaduhan melibatkan pelajar sekolah di Tawau yang tular selain kes pembunuhan membabitkan pelajar sekolah.
“Saya fikir, perkara seperti ini perlu dibendung dari awal dan ditangani sejak peringkat permulaan.
“Jika tidak, keadaan akan menjadi semakin membimbangkan dan boleh membawa kepada situasi yang tidak baik, terutama apabila melibatkan generasi muda,” tegasnya.






