
SANDAKAN – Hari Sukan Negara 2026 (HSN2026) menjadi platform penting dalam membudayakan gaya hidup sihat selain memperkukuh perpaduan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai (Sg) Manila, Datuk Hazeem Mubarak Tun Musa berkata, sambutan itu mampu menggalakkan lebih ramai masyarakat melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan rekreasi secara berterusan.
“Sambutan menggalakkan terhadap program sukan dan kecergasan di Sandakan membuktikan masyarakat semakin memberi perhatian terhadap kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat.
“Pelaksanaan Hari Sukan Negara merupakan platform untuk menerapkan budaya bersukan dan beriadah dalam kalangan masyarakat, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.
“Program seperti ini juga menjadi wadah perpaduan rakyat dan penyatuan nasional,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Hari Sukan Negara Peringkat Bahagian Sandakan 2026, di Kompleks Sukan Sandakan, di sini pada Sabtu.

Menurut Hazeem, HSN2026 turut mengetengahkan konsep Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, penyatuan masyarakat dan prinsip saling menghormati.
Beliau berkata, pendekatan menerusi konsep Malaysia Aktif juga dapat menggalakkan budaya bersenam serta meningkatkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukan massa.
Tambahnya, program yang melibatkan penyertaan ramai mampu menarik minat masyarakat untuk bersama-sama melakukan aktiviti sihat dan bermanfaat.
“Teruskan budaya sihat ini. Pihak kepimpinan negeri akan terus memberikan sokongan dan galakan supaya aktiviti seumpama ini dapat dilaksanakan secara berterusan di pelbagai peringkat.
“Saya juga ingin menyeru masyarakat di daerah ini supaya memanfaatkan kemudahan sukan yang tersedia bagi meningkatkan kecergasan fizikal dan mengekalkan kesihatan tubuh badan,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Pejabat Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Sandakan serta Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) Bahagian Sandakan atas penganjuran program berkenaan.
Sambutan HSN2026 diisi dengan pelbagai aktiviti sukan dan kecergasan yang terbuka kepada penyertaan masyarakat, termasuk senamrobik, larian dan berjalan kaki.






