Rafizi kelompok ‘hanya dia yang betul’, pengunduran beri kelebihan kestabilan dalaman PKR

PUTRAJAYA – PKR memiliki kelebihan bagi memperkasa kembali kestabilan dalaman PKR menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) selepas bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli keluar daripada parti.

Pengasas PKR, Ng Lum Yong berkata, parti berkenaan tidak lagi perlu berdepan dengan kelompok yang menganggap hanya mereka sahaja sentiasa betul dan tepat.

Menurut beliau, sepanjang berada dalam parti, Rafizi bersama kelompok penyokongnya sering dilihat membawa pendekatan yang menyebabkan berlaku perpecahan serta ketegangan dalam kalangan pimpinan parti

“PKR selama ini terpaksa berdepan kelompok yang menganggap hanya mereka sahaja betul, manakala pihak lain dianggap salah. Memang tidak dinafikan Rafizi dan sekutunya mempunyai kekuatan dalam menyerang pihak lawan menerusi strategi politik tertentu.

“Namun pendekatan sama turut dibawa ke dalam parti sehingga kadangkala menimbulkan masalah kepada kepimpinan atasan,” katanya menerusi kenyataaan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.

Lum Yong mendakwa, budaya sedemikian turut menyebabkan berlaku ketegangan dalaman dan menjejaskan usaha memperkukuh parti menjelang PRU akan datang.

“Pemergian Rafizi daripada PKR membuka ruang kepada parti itu untuk kembali fokus memperkukuh perpaduan dalaman dan agenda perjuangan asal parti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) di Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dikelolai oleh Rafizi dijangka akan memiliki nasib sama seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, parti berasaskan ideologi seperti DAP dan Pas kekal relevan kerana mempunyai jentera dan identiti yang jelas, manakala parti berasaskan personaliti seperti Semangat 46 dan Pejuang semuanya tenggelam selepas satu atau dua pilihan raya.

“Politik Malaysia tidak pernah memihak kepada parti yang hanya bersandarkan satu individu tertentu. Tanpa struktur parti dan naratif lebih daripada sekadar anti-establishment, Bersama juga akan berakhir sebagai parti sekadar membuat bising di media sosial atau ceramah sahaja, tetapi gagal memberi impak di Parlimen.

“Bandingkan sahaja rekod Rafizi dengan rekod Dr Mahathir yang memerintah negara selama 22 tahun, membangunkan Langkawi, membina Putrajaya dan KLIA, tetapi tetap hilang deposit di kubu sendiri pada PRU15.

“Calon-calon Parti Pejuang yang beliau tubuhkan pula hilang deposit di hampir semua tempat. Jika nama sebesar Mahathir pun boleh ditolak mentah-mentah oleh pengundi, apatah lagi Rafizi,” katanya.

Mashitah berpandangan, pengundi biasanya menilai sesebuah parti berdasarkan ideologi, jentera akar umbi dan kerja nyata di kawasan, bukan kerana populariti tokoh di media sosial.

Rafizi hanya menjadi Menteri Ekonomi kurang daripada tiga tahun dan tidak mempunyai jasa serta legasi besar seperti rekod pembangunan fizikal di mana-mana kawasan selain pengaruhnya hanya tertumpu di kawasan bandar besar seperti Pandan dan Setiawangsa sahaja.

“Tetapi itu tidak cukup untuk menang di peringkat nasional. Malaysia mempunyai 222 kerusi Parlimen dan untuk menang, sesebuah parti perlu menembusi Felda, kawasan pedalaman dan kawasan luar bandar yang langsung tidak terkesan dengan wacana idealisme bandar.

“Pengundi luar bandar tidak mengundi kerana debat Twitter atau pendedahan skandal. Mereka mengundi kerana bantuan sara hidup, projek jalan raya, elektrik dan air serta kehadiran pemimpin di majlis kenduri. Populariti dalam kalangan anak muda juga tidak bermakna jika kadar keluar mengundi mereka rendah,” katanya.

.

Related Posts

BN tidak pernah berubah, kekal bersama Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal – Ahmad Zahid

GEORGE TOWN – Tiada sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Barisan Nasional (BN). Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
‘Kalau sudah pilih rumah sebelah, jangan pegang kunci rumah lama’ – Mahfuz

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyatakan kesediaan untuk meletakkan jawatan jika diarahkan Perdana Menteri. Menurut Mahfuz, isu sebenar bukan tentang…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Permohonan Program MamaKerja akan dibuka Ogos ini

Permohonan Program MamaKerja akan dibuka Ogos ini

Bomba terus pantau Pasar Borong Selangor, pastikan tiada bara cetus kebakaran semula

Bomba terus pantau Pasar Borong Selangor, pastikan tiada bara cetus kebakaran semula

Laporan RCI Tabung Haji sedia didedah bukti komitmen ketelusan Kerajaan MADANI – Penganalisis

Laporan RCI Tabung Haji sedia didedah bukti komitmen ketelusan Kerajaan MADANI – Penganalisis

Kerjasama strategik JKOM, ICU JPM perkasa inisiatif kerajaan Persekutuan

Kerjasama strategik JKOM, ICU JPM perkasa inisiatif kerajaan Persekutuan

Tok Mat sangkal dakwaan Hamzah, tidak wujud gabungan Perikatan Barisan Nasional

Tok Mat sangkal dakwaan Hamzah, tidak wujud gabungan Perikatan Barisan Nasional

Harimau belang betina 94kg ditangkap, ganggu ternakan

Harimau belang betina 94kg ditangkap, ganggu ternakan