SERANGAN demi serangan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bukan lagi boleh dilihat sebagai sekadar kritikan biasa dalam sistem demokrasi. Apa yang sedang berlaku jauh lebih besar. Ia seolah-olah sedang wujud satu usaha besar untuk membentuk persepsi bahawa kerajaan hari ini mesti dijatuhkan segera sebelum sempat menyempurnakan proses pemulihan negara.
Lihat sahaja bagaimana himpunan demi himpunan berlaku hampir serentak di beberapa negeri seperti Melaka, Negeri Sembilan dan Shah Alam. Dalam dunia politik moden, keserentakan begini jarang lahir secara spontan. Politik hari ini bukan lagi sekadar soal siapa paling kuat berhujah, tetapi siapa paling berjaya menguasai persepsi.
Dan persepsi yang sedang dibina nampaknya cukup mudah: negara gagal, kerajaan gagal, masa depan gagal.
Naratif yang dibina juga cukup jelas. Negara ini, kata mereka, tidak lagi boleh dipimpin oleh kelompok lama. Sudah tiba masa baton diserahkan kepada generasi baharu. Pada permukaannya, naratif ini kedengaran segar dan progresif.
Adakah gerakan ini benar-benar mahu membina masa depan negara, ataupun sekadar mahu meruntuhkan apa sahaja yang sedang cuba dipulihkan? Bukankah sejarah telah mengajar kita bahawa meruntuhkan jauh lebih mudah daripada membina?
Sebab itu kita perlu berhenti sekejap daripada hiruk-pikuk media sosial yang terlalu bising hari ini. Kita perlu merenung dengan nurani yang tulus, adakah keadaan hari ini benar-benar lebih buruk daripada apa yang pernah kita lalui sebelum ini?
Kita pernah hidup dalam ketidakstabilan politik yang panjang. Kita pernah melihat kerajaan bertukar dalam tempoh singkat seperti musim yang tidak sempat habis. Kita pernah menyaksikan institusi dipermainkan oleh perebutan kuasa yang tidak berpenghujung. Ekonomi terganggu. Pelabur menjauh. Rakyat letih.
Hari ini pun negara belum sempurna. Banyak kelemahan masih ada. Harga barang masih menekan. Kemarahan rakyat masih wujud. Kritikan terhadap kerajaan juga tetap perlu.
Tetapi di tengah segala kekurangan itu, negara sekurang-kurangnya sedang cuba berdiri semula.
Ekonomi bergerak perlahan-lahan. Hubungan antarabangsa kembali diperkemas. Pelaburan cuba dipulihkan. Institusi cuba dikembalikan fungsinya. Yang paling penting, perubahan itu masih berlaku dalam ruang demokrasi yang aman.
Bukankah itu juga satu nikmat yang patut disedari? Allah tidak bertanya kepada manusia sama ada hidup mereka sempurna ataupun tidak. Sebaliknya Allah mengulang satu pertanyaan yang sama berkali-kali:
“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?”
Ayat itu bukan sekadar keindahan bahasa al-Quran. Ia seperti tamparan halus kepada manusia yang terlalu sibuk menghitung apa yang belum dimiliki sehingga lupa melihat apa yang masih ada di tangan.
Surah Ar-Rahman bermula dengan pengenalan tentang Tuhan Yang Maha Pemurah. Kemudian Allah berbicara tentang alam yang bergerak dengan aturan termasuk matahari, bulan, bumi dan neraca keadilan. Semuanya tunduk pada keseimbangan. Maknanya jelas: dunia ini tidak dibina atas kebencian yang tidak bertepi.
Malah al-Quran sendiri mengingatkan supaya manusia tidak melampaui batas dalam menegakkan keadilan. Dalam politik, pesan ini sangat besar maknanya. Kritikan mesti ada. Teguran wajib diberikan. Pemimpin tidak boleh dibiarkan kebal.
Tetapi apabila kebencian menjadi bahan bakar utama politik, manusia akhirnya hilang keupayaan menilai secara waras. Segala-galanya dilihat hitam atau putih. Lawan dianggap musuh mutlak. Fakta tidak lagi penting. Yang penting hanyalah kemarahan terus hidup.
Lebih bahaya apabila agama dan identiti diperalatkan untuk menghalalkan segala bentuk kebencian politik. Walhal, Islam sendiri dibina atas prinsip keadilan, ihsan dan keseimbangan. Bukan atas dendam yang dipelihara siang dan malam.
Apa yang lebih penting hari ini ialah memastikan proses pembinaan negara dapat diteruskan secara tertib dan stabil. Sebuah negara bangsa tidak dibina melalui kekacauan politik yang tidak berkesudahan. Ia melalui kesabaran, keberanian memperbaiki kelemahan dan kesediaan untuk membina masa depan sedikit demi sedikit.
Kerana akhirnya, persoalan terbesar yang sedang berada di hadapan rakyat Malaysia hari ini bukan sekadar soal siapa yang memegang kuasa.
Tetapi apakah kita mahu menjadi bangsa yang terlalu cepat menghancurkan setiap proses pemulihan hanya kerana ia belum sempurna?
Atau kita mahu menjadi bangsa yang cukup matang untuk menghargai kestabilan yang masih ada, mempertahankan ruang demokrasi yang masih terbuka, lalu memperbaiki negara ini bersama?
Ssering telah menunjukkan: kehancuran sesebuah bangsa jarang bermula dengan kemiskinan semata-mata.
Ia bermula apabila manusia hilang rasa syukur, gagal membezakan antara kekurangan yang perlu diperbaiki dan nikmat yang wajib dipertahankan.
*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)






