SEPANG – Kerajaan Malaysia memperhebat usaha diplomatik bagi mendesak pembebasan segera aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang ditahan Israel selepas misi bantuan kemanusiaan ke Gaza dipintas di perairan antarabangsa.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, Perdana Menteri sendiri mengetuai usaha berkenaan menerusi hubungan dua hala dengan beberapa negara berkaitan.
Katanya, perkara itu dimaklumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada SNCC menerusi panggilan telefon hari ini.
“Perdana Menteri sedang mengetuai segala usaha bersama Kerajaan Malaysia, menggunakan hubungan dua hala yang akrab serta telah berhubung rapat dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
“Ia bagi mendesak pembebasan segera seluruh aktivis yang diculik, dipastikan selamat dan mengelakkan mereka daripada dipenjarakan di Penjara Ketziot,” katanya pada sidang media perkembangan Misi GSF 2.0, di sini, hari ini.
Beliau berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Wisma Putra turut menggandakan usaha diplomatik dengan Turkiye dan beberapa negara lain bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang terbabit dalam misi flotila itu.
Katanya, persediaan juga dilakukan melalui wakil kedutaan Malaysia di Istanbul, Amman dan Kaherah bagi membantu proses pembebasan aktivis berkenaan.
“SNCC menegaskan insiden penculikan ini turut membangkitkan kemarahan dan kecaman antarabangsa, termasuk Kenyataan Negara serta demonstrasi di Itali, Turkiye, Sepanyol, Perancis, Belgium, Ireland, Kanada, Belanda, Jerman, Korea Selatan, Australia, Portugal serta organisasi antarabangsa.
“Mereka juga mengecam tindakan pencerobohan dan penculikan terhadap aktivis flotilla kemanusiaan ini yang berlaku di perairan antarabangsa,” katanya.
SNCC turut menyeru rakyat Malaysia memperkukuh solidariti menerusi solat hajat, Qunut Nazilah, munajat nasional serta tekanan diplomatik berterusan sehingga semua delegasi kemanusiaan dibebaskan.
Semalam, SNCC mengesahkan kesemua 50 kapal GSF 2.0 yang membawa 428 aktivis dari 40 negara dipintas tentera laut rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa, kira-kira 80 batu nautika dari pantai Gaza.
SNCC turut mengecam tindakan Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir bersama tentera laut Israel yang didakwa melakukan kekerasan fizikal, tekanan mental dan ugutan terhadap aktivis misi kemanusiaan itu.
Menurut Sani Araby, tindakan terbabit melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selain bertentangan dengan Statut Rom di bawah Perkara 8(2)(a)(ii) atau 8(2)(c)(i).
Statut itu menetapkan bahawa perbuatan menyeksa, memukul atau melayan tahanan secara tidak berperikemanusiaan dikategorikan sebagai pelanggaran berat Konvensyen Geneva.
“Tindakan ini memperlihatkan wajah sebenar rejim aparteid yang terus bertindak di luar batas kemanusiaan,” katanya.
Sebelum ini, tular rakaman video dimuat naik Ben-Gvir di media sosial yang memaparkan aktivis ditahan dengan tangan diikat dan dipaksa berlutut selepas dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa.
Sani Araby berkata, kenyataan bercanggah beberapa pimpinan Israel terhadap tindakan Ben-Gvir turut menunjukkan wujud perpecahan dalaman dalam rejim berkenaan.
Beliau berkata, SNCC turut menerima laporan bahawa sebahagian aktivis dijangka dipindahkan ke Penjara Ketziot dalam masa terdekat.
“Pasukan guaman Sumud Nusantara iaitu Centre For Human Rights Research and Advocacy (Centhra) dengan kerjasama The Legal Center for Arab minority Right (Adalah) yang berpusat di Haifa, telah bersedia di pelabuhan Ashdod.
“Mereka mengesahkan bahawa aktivis kemanusiaan flotilla termasuk rakyat Malaysia berada dalam keadaan stabil dan sedang menunggu kebenaran untuk bertemu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata sekurang-kurangnya 87 aktivis yang ditahan di Pelabuhan Ashdod melancarkan mogok lapar sebagai bantahan terhadap penahanan dan layanan yang diterima.
“Ia sebagai tanda bantahan terhadap penahanan haram, layanan tidak berperikemanusiaan serta pencabulan hak asasi yang dilaksanakan oleh pihak rejim Israel ke atas aktivis kemanusiaan flotilla,” katanya.






