PONTIAN – Cadangan atau usaha menubuhkan sebuah parti politik baharu ketika landskap politik negara semakin menghampiri Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) dilihat sebagai satu langkah yang bukan sahaja mencabar, malah berpotensi mencetuskan persoalan besar terhadap keikhlasan serta hala tuju perjuangan politik yang ingin dibawa.
Setiausaha Jawatankuasa Pilihan Raya PKR Negeri Johor, Haniff Hosman menyifatkan penubuhan sesebuah parti baharu bukan proses mudah kerana ia menuntut kekuatan struktur organisasi, keupayaan pentadbiran yang mantap serta kepimpinan yang benar-benar memahami kehendak dan denyut nadi rakyat.
Menurut beliau, dalam keadaan politik semasa yang semakin kompetitif, langkah mewujudkan parti baharu dilihat agak tergesa-gesa dan boleh menimbulkan persepsi bahawa ia sekadar ‘parti cendawan tumbuh’ – muncul ketika musim pilihan raya tetapi belum tentu mampu bertahan dalam jangka masa panjang.
“Pembentukan platform politik baharu juga perlu dilihat bukan sekadar sebagai simbol penentangan atau reaksi kepada perpecahan dalaman, tetapi mestilah membawa idealisme, naratif perjuangan jelas dan keyakinan rakyat yang kukuh,” katanya.
Haniff turut membangkitkan persoalan terhadap strategi menghimpunkan calon-calon yang tewas dalam pemilihan parti sebagai sebahagian daripada kekuatan baharu.
Beliau berpandangan pendekatan itu boleh menimbulkan persepsi bahawa gerakan tersebut lebih cenderung kepada usaha memecahkan blok sokongan sedia ada berbanding membentuk gelombang politik yang benar-benar segar dan diyakini rakyat.
“Jika akar umbi sendiri sebelum ini tidak memberikan mandat kepada individu tertentu, maka timbul persoalan sejauh mana kelompok sama mampu tampil meyakinkan rakyat dalam gelanggang politik lebih besar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa sejarah politik negara telah memperlihatkan beberapa parti serpihan gagal bertahan lama kerana tidak memiliki struktur kukuh, hala tuju konsisten dan kekuatan akar umbi yang mampan.
Menurutnya, penubuhan parti bukan sekadar soal logo, slogan atau retorik reformasi, tetapi memerlukan perjuangan jelas, disiplin organisasi dan kepercayaan rakyat yang dibina secara berterusan.
Dalam kenyataan yang dilihat menyentuh secara sinis kepimpinan politik berasaskan strategi teknikal, Haniff menegaskan bahawa politik tidak boleh digerakkan hanya melalui angka, analisis data atau percaturan atas kertas semata-mata.
Walaupun beliau tidak menamakan mana-mana individu secara langsung, kenyataan tersebut dilihat sebagai sindiran terhadap pendekatan politik yang sering dikaitkan dengan tokoh tertentu termasuk bekas pemimpin yang dikenali dengan gaya analitik serta politik berteraskan angka.
Melihat kepada kenyataan itu berkemungkinan menyentuh persepsi terhadap gaya kepimpinan seperti yang sering dikaitkan dengan Datuk Seri Rafizi Ramli, yang sebelum ini dikenali dengan pendekatan ‘data driven’ dan hujah berasaskan angka dalam banyak wacana politik nasional.
“Politik adalah soal sentuhan jiwa, memahami keresahan rakyat dan mencipta gelombang keyakinan. Ia bukan sekadar permainan angka,” tegasnya.
Kenyataan ini secara tidak langsung memperlihatkan kebimbangan bahawa politik yang terlalu bergantung kepada formula dan strategi tanpa kekuatan emosi, akar umbi serta kepercayaan rakyat mungkin sukar bertahan dalam suasana politik Malaysia yang semakin kompleks dan dinamik.




