
KOTA KINABALU – Polis Sabah mendedahkan kewujudan modus operandi baharu penyalahgunaan dadah apabila sindiket dikesan memproses bahan terlarang dalam bentuk cecair untuk digunakan menerusi vape.
Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun berkata, rampasan ini merupakan yang terbesar membabitkan cecair dadah vape.
“Modus Operandi baharu penyalahgunaan dadah dalam bentuk vape terbongkar menerusi dua operasi berasingan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah sepanjang Mei lalu dengan nilai keseluruhan rampasan RM3.3 juta.
“Polis percaya taktik baharu itu mampu menarik lebih ramai pengguna terutama golongan muda kerana dadah dicampurkan ke dalam cecair vape biasa sebelum dihisap,” katanya dalam sidang media, di sini pada Rabu.

Menurutnya, cecair berkenaan boleh menyebabkan pengguna khayal, mengalami kecelaruan mental dan ketagihan melampau.
“Selama ini masyarakat bercakap vape dicampur dadah, tetapi kini kita buktikan melalui rampasan dan tangkapan bahawa perkara itu benar-benar berlaku.
“Kes pertama pada 3 Mei lalu menyaksikan JSJN IPD Semporna menahan seorang lelaki di kawasan perumahan di Semporna.
“Pemeriksaan menemukan kira-kira 1,000 kartrij vape pelbagai jenis dipercayai mengandungi cecair dadah seberat hampir 20 kilogram selain dua botol cecair biru seberat 11 kilogram,” ujarnya.
Tambahnya, siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lagi suspek di Semporna sebelum seorang lelaki diberkas di Tawau bersama ganja.
“Polis percaya sindiket menggunakan cecair mengandungi THC (tetrahydrocannabinol) untuk dicampur ke dalam vape biasa sebelum dijual kepada pengguna.
“Dalam operasi kedua pada 11 Mei lalu, JSJN Kota Kinabalu menahan dua lelaki di kawasan parkir Market 88 Kapayan dan merampas dua kilogram syabu.
“Serbuan susulan di Penampang membawa kepada penemuan tambahan 50 kilogram dadah sebelum dua lagi suspek ditahan bersama rampasan 10 kilogram syabu.
“Jumlah keseluruhan rampasan syabu dalam operasi itu ialah 62 kilogram dan siasatan mendapati dadah dibawa masuk ke Sabah melalui sempadan Sarawak,” jelasnya.
Dalam pada itu, polis percaya sindiket menggunakan laluan kargo untuk membawa masuk cecair dadah vape manakala syabu diseludup melalui jalan darat dari Sarawak.
Semua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan JSJN Sabah kini bekerjasama dengan Bukit Aman serta polis Sarawak bagi mengesan sumber bekalan serta rangkaian sindiket terbabit.






