KUALA LUMPUR – Pas mencadangkan agar Malaysia mencontohi pendekatan seperti di Indonesia yang mewajibkan penggunaan bahasa rasmi negara dalam semua urusan, termasuk sistem pendidikan kebangsaaan tanpa mengira bangsa.
Pengerusi Lajnah Hubungan NGO dan Seranta Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, amalan di Indonesia yang menetapkan bahasa Indonesia sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan dan pentadbiran wajar dijadikan rujukan dalam memperkukuh kedudukan bahasa Melayu di negara ini.
Beliau berpandangan, langkah tersebut dilihat penting bagi memastikan identiti nasional terus diperkasa serta tidak terhakis oleh penggunaan bahasa lain dalam urusan rasmi dan pendidikan.
“Mana-mana negara di dunia ini akan meletakkan bahasa majoriti atau bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan dan pentadbiran negara.
“Di Indonesia misalnya, semua rakyat wajib menggunakan bahasa Indonesia tanpa mengira bangsa,” katanya pada sidang media bantahan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), pada Rabu.
Sehubungan itu, Awang membidas keputusan kerajaan yang didakwa memenuhi tuntutan DAP dengan memberi laluan kepada 10,000 pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pendang menegaskan, kerajaan tidak sepatutnya tunduk kepada sekumpulan kecil berbanding 34 juta rakyat yang selama ini menjunjung pendidikan kebangsaan dan tidak seharusnya menjadikan kuasa politik alasan untuk menggadaikan prinsip perjuangan bangsa, agama dan negara semata-mata demi mengekalkan kedudukan.
“Sekolah UEC jumlahnya kecil jika dibandingkan dengan keseluruhan rakyat Malaysia yang melebihi 34 juta orang. Sistem pendidikan kebangsaan dan sekolah agama pula melibatkan ratusan ribu pelajar.
“Namun sekolah tahfiz tetap diwajibkan menggunakan bahasa Melayu sebagai salah satu komponen utama. Perjuangan mempertahankan sistem pendidikan kebangsaan perlu kembali berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan identiti nasional negara,” katanya.
Dalam pada itu, Awang menjelaskan, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan perkara itu perlu dihormati oleh semua pihak tanpa kompromi.
Katanya, hubungan antara Perkara 152 dan Perkara 153 amat rapat kerana kedua-duanya menyentuh soal kedudukan bahasa Melayu serta hak istimewa Melayu dan bumiputera yang menjadi asas pembentukan negara.
“Ke mana hala tuju perjuangan pengiktirafan UEC sekiranya sistem tersebut tidak meletakkan bahasa Melayu sebagai teras utama pendidikan,” soalnya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap penggunaan bahasa selain bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan termasuk di fasiliti kesihatan awam.
Menurutnya, asas kontrak sosial yang dipersetujui sebelum kemerdekaan perlu terus dihormati oleh semua rakyat Malaysia bagi memastikan keharmonian dan kestabilan negara dapat dikekalkan.
“Orang Melayu sebagai majoriti di negara ini perlu dihormati dalam menentukan asas pembinaan negara tanpa menafikan hak kaum lain sebagai warganegara Malaysia.
“Pas melalui NGO dan mobilisasi akan memberikan sokongan penuh terhadap gerakan mempertahankan sistem pendidikan kebangsaan yang berlandaskan Perlembagaan,” katanya.







