Hukuman pensyarah rompak bank, tembak mati pengawal keselamatan kekal

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 30 tahun terhadap seorang bekas pensyarah kolej atas kesalahan membunuh dan melepaskan tembakan ketika melakukan rompakan bank, empat tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Noorin Badaruddin bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Dean Wayne Daly sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwaan yang memohon hukuman lebih berat dikenakan terhadap tertuduh, lapor Bernama.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim memohon supaya hukuman mati atau penjara 40 tahun dikenakan terhadap Chai Kong Wee @ Chia Kong Wee bagi pertuduhan membunuh, selain meminta hukuman bagi kesalahan melepaskan tembakan ditingkatkan sekurang-kurangnya kepada penjara 35 tahun .

Sebagai alternatif, pihak pendakwaan turut memohon supaya hukuman penjara 30 tahun bagi setiap pertuduhan dijalankan secara berasingan.

Dalam keputusan sebulat suara itu, Hakim Noorin berkata hakim Mahkamah Tinggi menggunakan budi bicara sewajarnya ketika menjatuhkan hukuman bagi mengelakkan hukuman keseluruhan yang terlalu berat.

Beliau berkata, mahkamah tidak mempunyai alasan mencukupi untuk campur tangan terhadap keputusan hukuman dibuat Mahkamah Tinggi.

Kong Wee, 42, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan di Mahkamah Tinggi pada 6 Ogos 2025 sebelum dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan – yang diperintahkan berjalan serentak – bermula tarikh hukuman dijatuhkan.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa membunuh anggota syarikat keselamatan, Muhammad Aiman Hakim Md Zakri, 21, di sebuah bank di Jalan Prima Utama, Taman Puchong Prima, Puchong, Selangor pada 5.50 petang, 11 Mac 2022.

Dia turut didakwa melepaskan tembakan ke arah siling ketika melakukan rompakan di sebuah bank di Pusat Perniagaan Subang Square, Subang Jaya pada 4.30 petang, 3 September 2020.

Semasa prosiding, Mohd Zain menyifatkan pembunuhan itu sebagai kejam dan menegaskan hukuman berat perlu dikenakan sebagai pengajaran kerana responden didakwa merancang dengan teliti sebelum melakukan rompakan dan tembakan berkenaan.

Beliau turut berhujah bahawa hukuman penjara sepatutnya dijalankan secara berasingan memandangkan kesalahan dilakukan dalam kejadian berbeza serta di lokasi berlainan.

Bagaimanapun, peguam dilantik mahkamah Muhammad Rafique Rashid Ali berhujah bahawa hukuman penjara panjang dijalani Chai sudah menyebabkan tertuduh berada di penjara untuk tempoh yang sangat lama.

“Dia tidak akan menikmati kebebasan lagi,” katanya.

Beliau berkata, Kong Wee turut dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan dalam dua lagi kes serupa yang diperintahkan berjalan secara berasingan, selain tambahan hukuman penjara 13 tahun bagi kesalahan cubaan membunuh.

Related Posts

Program MADANI Kita jambatan penting kerajaan-rakyat – KP JKOM

KUANTAN – Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) akan menggerakkan 17 siri Program MADANI Kita (PMK) di seluruh negara bagi merapatkan jurang komunikasi antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi. Menyifatkan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Jualan Rahmah MADANI rekod transaksi lebih RM350 juta

KUANTAN – Program Jualan Rahmah MADANI di seluruh negara dilaksanakan sebanyak 22,834 kali sehingga hujung Ogos lalu, dengan nilai jualan melebihi RM350 juta. Ia sekali gus memberi manfaat kepada rakyat…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Cadangan akar umbi belia Sabah jadi input Belanjawan Belia MADANI 2027

Cadangan akar umbi belia Sabah jadi input Belanjawan Belia MADANI 2027

Menang pilihan raya bukan lesen guling Raja – Anwar

Menang pilihan raya bukan lesen guling Raja – Anwar

Laporan awal pengurusan dan tatakelola FELDA didedah minggu depan – Anwar

Laporan awal pengurusan dan tatakelola FELDA didedah minggu depan – Anwar

Hak mohon pengampunan milik setiap banduan, keputusan bukan di tangan kerajaan

Hak mohon pengampunan milik setiap banduan, keputusan bukan di tangan kerajaan

Anwar mahu dengar penjelasan Anthony sebelum putuskan peletakan jawatan

Anwar mahu dengar penjelasan Anthony sebelum putuskan peletakan jawatan

Perpaduan Melayu-Islam: Antara tuntutan agama dan kepentingan parti politik

Perpaduan Melayu-Islam: Antara tuntutan agama dan kepentingan parti politik