
SEPANGGAR – Seramai 477 pelajar di Parlimen Sepanggar menerima pengiktirafan menerusi Program Anugerah Cemerlang MADANI 2025 atas pencapaian akademik cemerlang dalam peperiksaan masing-masing.
Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud berkata, penerima anugerah melibatkan pelajar yang memperoleh keputusan antara 6A hingga 12A.
“Program ini merupakan sebahagian daripada agenda pendidikan berterusan di kawasan Parlimen ini bagi memperkukuh pembangunan generasi muda,” katanya
kepada media selepas menghadiri Program Anugerah Cemerlang MADANI 2025 di Sepanggar, pada Isnin.
Menurutnya, program Tuisyen MADANI percuma yang dilaksanakan di Parlimen Sepanggar turut menunjukkan peningkatan positif apabila seramai 80 pelajar mencatat pencapaian memberangsangkan tahun ini.
Katanya, jumlah itu meningkat berbanding hanya 12 pelajar pada tahun lalu.
“Tahun lepas 12 orang tetapi tahun ini meningkat kepada 80 orang. Ini menunjukkan tuisyen percuma yang kita adakan semakin berkesan.
“Kita juga telah panjangkan program ini ke sekolah-sekolah berdekatan dan selepas ini akan cuba diperluaskan lagi ke sekolah lain yang memerlukan,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau menggalakkan pelajar dari Sepanggar yang menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi supaya memaklumkan kepada Pejabat Parlimen Sepanggar bagi mendapatkan insentif khas secara ‘one-off’.
“Bantuan itu terbuka kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke universiti awam, swasta dan institusi pengajian lain yang layak.
“Cuma sertakan surat tawaran dan nombor akaun masing-masing, kemudian kita akan salurkan insentif kepada anak-anak Sepanggar yang layak,” ujarnya.




