Ringgit kukuh, unjuran IMF meningkat bukti keyakinan global terhadap ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR – Pengukuhan nilai ringgit serta semakan naik unjuran ekonomi Malaysia oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mencerminkan keyakinan berterusan komuniti kewangan antarabangsa terhadap asas ekonomi negara.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, prestasi semasa ringgit menunjukkan mata wang negara kini antara yang terbaik di Asia bagi tahun 2026.

“Saya menyambut baik perkembangan positif prestasi mata wang negara apabila ringgit kini muncul sebagai antara mata wang terbaik Asia bagi tahun 2026.

“Laporan media ekonomi serantau termasuk CNBC Indonesia turut mengiktiraf kekuatan ringgit apabila menyifatkan mata wang Malaysia sebagai yang paling kukuh di Asia ketika banyak mata wang serantau lain sedang mengalami tekanan dan penyusutan nilai berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

“Apa yang lebih membanggakan, pengukuhan ini bukan berlaku secara sementara atau bersifat spekulatif, sebaliknya menunjukkan trend yang konsisten dan berterusan hasil kekuatan asas ekonomi negara serta keyakinan pelabur terhadap hala tuju pentadbiran Malaysia MADANI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan data semasa, ringgit bukan sahaja mengukuh berbanding dolar AS, malah mencatat prestasi lebih baik berbanding beberapa mata wang utama Asia, termasuk yuan China dan dolar Singapura dalam tempoh tertentu tahun ini.

“Menurut laporan CNBC Indonesia, sehingga penghujung April 2026, ringgit mencatatkan apresiasi sekitar 2.64 peratus berbanding dolar AS, sekali gus meletakkan Malaysia di kedudukan teratas dalam prestasi mata wang Asia, diikuti China dan Singapura,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perkembangan berkenaan turut disokong unjuran terkini IMF yang menunjukkan keyakinan lebih tinggi terhadap ekonomi Malaysia meskipun persekitaran global kekal mencabar.

“IMF dilaporkan telah menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global bagi tahun 2026 kepada 3.1 peratus berbanding 3.3 peratus sebelum ini, iaitu penurunan sebanyak 0.2 peratus susulan kenaikan harga tenaga dan gangguan rantaian bekalan akibat konflik di Timur Tengah.

“Namun di sebalik kelembapan ekonomi global tersebut, IMF telah menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.7 peratus berbanding 4.3 peratus sebelum ini, iaitu peningkatan sebanyak 0.4 peratus daripada unjuran awal.

“Peningkatan unjuran ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia berada di landasan ekonomi yang lebih kukuh berbanding banyak negara lain, didorong oleh permintaan domestik yang mantap, asas eksport yang pelbagai serta keyakinan pelabur terhadap kestabilan dasar negara,” katanya.

Muhammad Kamil berkata, pengukuhan ringgit bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya dipacu beberapa faktor asas termasuk pertumbuhan ekonomi mampan, aliran masuk pelaburan asing, kestabilan politik serta reformasi ekonomi yang berterusan.

“Kekuatan ringgit hari ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia disokong oleh beberapa faktor utama antaranya pertumbuhan ekonomi negara yang mampan, aliran masuk pelaburan asing yang positif, kestabilan politik, reformasi ekonomi yang jelas serta keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Malah, kadar pertukaran efektif nominal (NEER) ringgit yang terus mengukuh membuktikan bahawa prestasi mata wang negara bukan hanya bergantung kepada kelemahan dolar AS semata-mata tetapi turut mencerminkan kekuatan sebenar ekonomi Malaysia berbanding negara-negara rakan dagang di Asia.

“Ketika ada pihak terus memainkan naratif pesimis terhadap ekonomi negara, realitinya komuniti kewangan antarabangsa sedang melihat Malaysia dalam perspektif yang jauh lebih positif. Pengukuhan ringgit dan peningkatan unjuran IMF ini adalah mesej jelas bahawa Malaysia sedang kembali muncul sebagai destinasi ekonomi dan pelaburan yang diyakini di rantau Asia.

“Momentum positif ini perlu diteruskan menerusi reformasi ekonomi yang konsisten, pengukuhan tata kelola, disiplin fiskal serta usaha memperkukuh daya tahan domestik agar manfaat pertumbuhan dapat dirasai seluruh rakyat.

“Pengukuhan ringgit bukan sekadar angka di pasaran kewangan, tetapi simbol keyakinan dunia terhadap kestabilan dan masa depan ekonomi Malaysia,” katanya.

Related Posts

Ekonomi Malaysia dijangka kekal kukuh pada separuh kedua 2026

KUALA LUMPUR – Kerajaan menjangkakan ekonomi Malaysia akan terus mencatat pertumbuhan kukuh pada separuh kedua tahun ini, disokong pelbagai langkah intervensi yang dilaksanakan serta asas ekonomi negara yang kekal berdaya…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Laporan Task Force FELDA dijangka didedah dalam beberapa bulan lagi – PM

JEMPOL – Laporan Pasukan Petugas Khas (Task Force) berhubung Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dijangka siap dalam tempoh beberapa bulan lagi sebelum didedahkan kepada umum, kata Perdana Menteri, Datuk Seri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Dua remaja maut kemalangan SUV, motosikal di Tanjung Gemok

Dua remaja maut kemalangan SUV, motosikal di Tanjung Gemok

Anthony yakin peratusan keluar mengundi capai 75 peratus

Anthony yakin peratusan keluar mengundi capai 75 peratus

Ekonomi Malaysia dijangka kekal kukuh pada separuh kedua 2026

Ekonomi Malaysia dijangka kekal kukuh pada separuh kedua 2026

Anjing viral mati, polis buka kertas siasatan khianat dengan membunuh haiwan

  • By Aden
  • August 1, 2026
Anjing viral mati, polis buka kertas siasatan khianat dengan membunuh haiwan

‘Kajian sekadar analisis, keputusan di tangan rakyat’ – Anthony

‘Kajian sekadar analisis, keputusan di tangan rakyat’ – Anthony

Kampung, Sekolah Angkat MADANI perkukuh pembangunan komuniti luar bandar

Kampung, Sekolah Angkat MADANI perkukuh pembangunan komuniti luar bandar