89 65 66 32 80 101 114 100 97 110 97 32 77 101 110 116 101 114 105 44 32 68 97 116 111 39 32 83 101 114 105 32 65 110 119 97 114 32 73 98 114 97 104 105 109 32 115 101 109 97 115 97 32 77 97 106 108 105 115 32 82 97 109 97 104 32 77 101 115 114 97 32 100 97 110 32 76 97 119 97 116 97 110 32 77 97 115 106 105 100 32 71 111 110 103 32 67 104 97 112 97 32 84 101 109 105 108 97 44 32 80 97 115 105 114 32 80 117 116 101 104 44 32 75 101 108 97 110 116 97 110 46 32 49 56 32 65 112 114 105 108 32 50 48 50 54 46 32
PUTRAJAYA – Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kelantan membuktikan Kerajaan MADANI tidak meminggirkan mana-mana negeri, sebaliknya mengutamakan kepentingan rakyat merentasi perbezaan politik.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Dr Huzili Hussin berkata, lawatan rasmi Perdana Menteri ke Kelantan baru-baru ini memperlihatkan komitmen jelas kerajaan pusat dalam memastikan pembangunan diagihkan secara inklusif.
Menurut beliau, langkah Perdana Menteri melawat Kelantan hanya seminggu selepas kunjungan ke Terengganu mencerminkan prinsip Malaysia MADANI yang tidak menjadikan perbezaan politik sebagai penghalang kepada pembangunan.
‘Perdana Menteri kini mengambil pendekatan turun sendiri ke daerah dan jajahan kerana pada peringkat itulah masalah sebenar rakyat dapat didengar. Pengalaman itu membuktikan pendekatan mendengar terus daripada pegawai jajahan, penghulu dan masyarakat jauh lebih berkesan.
“Selain masjid dan lapangan terbang, antara projek penting diketengahkan ialah Projek Pemuliharaan Pantai Bisikan Bayu serta kerja berkaitan di Pasir Puteh. Dengan kos keseluruhan RM48.3 juta, projek itu bertujuan menangani hakisan di Pantai Bisikan Bayu, antara kawasan pelancongan utama di Pasir Puteh.
“Ia menunjukkan Kerajaan Persekutuan bukan sahaja menumpukan projek berskala besar seperti lapangan terbang, bahkan mengambil berat projek tempatan menyentuh kehidupan harian rakyat,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP),
Lawatan Perdana Menteri ke Kelantan baru-baru ini merangkumi perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), perasmian Masjid Gong Chapa Temila di Pasir Puteh serta Mesyuarat Pembangunan Pasir Puteh di Bilik Gerakan, Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh.
Pada masa sama, Kerajaan MADANI turut membantu menyelesaikan isu bekalan air Kelantan dengan komitmen mencecah RM1.2 bilion, melaksana projek Jambatan Palekbang-Kota Bharu serta menaik taraf Pasar Siti Khadijah dan Pasar Siti Aisyah.
Mengulas lanjut, Huzili menyifatkan pendekatan tersebut sebagai manifestasi ‘responsive leadership’, iaitu kepemimpinan yang bertindak balas secara terus terhadap keperluan rakyat tanpa mengira latar belakang politik negeri.
Beliau berpandangan, pelaksanaan projek-projek utama menunjukkan kerajaan bukan sahaja memberi fokus kepada pembangunan berskala besar, malah turut mengambil kira keperluan tempatan.
“Jika sebelum ini hubungan Kerajaan Persekutuan dengan negeri pembangkang sering dilihat melalui lensa persaingan politik dan birokrasi, pendekatan mutakhir lebih menepati konsep ‘cooperative federalism’, iaitu Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bekerjasama, walaupun berbeza ideologi politik.

“Perdana Menteri tidak hanya bergantung kepada mesyuarat di Putrajaya atau laporan pegawai, sebaliknya turun sendiri ke negeri, daerah dan jajahan.
“Pendekatan ini boleh ditafsirkan ‘governance from below’, iaitu pentadbiran memberi penekanan kepada maklum balas akar umbi sebelum sesuatu keputusan dibuat, sekali gus menggambarkan unsur kepemimpinan bertindak balas secara terus terhadap keperluan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Huzili berkata, pendekatan yang dibawa Perdana Menteri memberi isyarat Anwar membina naratif politik baharu dengan pembangunan bukan lagi ganjaran kepada negeri menyokong kerajaan, tetapi hak semua rakyat tanpa mengira kecenderungan politik.
“Pendekatan begini wajar dipuji kerana bukan sahaja mengurangkan ketegangan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri pembangkang, malah berpotensi mewujudkan budaya politik lebih matang, inklusif serta berorientasikan rakyat,” katanya.


