CRISTIANO Ronaldo
CRISTIANO Ronaldo dinasihatkan bersara daripada kancah bola sepak profesional sejurus tamat kempen Piala Dunia 2026, berbanding kemungkinan mengikut jejak langkah Lionel Messi ke Amerika Syarikat.
Bekas pemain tengah Arsenal dan Sweden, Anders Limpar percaya bintang Al-Nassr itu perlu fokus untuk melindungi legasi luar biasanya daripada tercalar dengan menyertai Liga Bola Sepak Utama (MLS) yang dianggap bukan satu liga yang mudah.
Ketika Ronaldo terus mempamerkan aksi bertenaga di Liga Pro Saudi meskipun usia kian meningkat, perdebatan mengenai destinasi terakhir kariernya semakin hangat diperkatakan.
Walaupun peminat mengharapkan pertemuan semula Ronaldo dan Messi di MLS, Limpar berpendapat perpindahan ke Amerika Syarikat hanya akan memberi tamparan realiti yang perit buat ikon berusia 41 tahun itu.
“Jika MLS mahu menjadi liga yang lebih besar, mereka pasti mahu membawa bintang seperti Cristiano Ronaldo, tetapi dia akan berusia 41 tahun ketika itu.
“Dia juga mengalami kecederaan dalam dua perlawanan terakhir Portugal.
“Saya amat mengagumi pemain seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo yang masih mampu bermain selepas memenangi segalanya, ia sesuatu yang menakjubkan.
“Namun, bukankah lebih baik Ronaldo berhenti sahaja selepas Piala Dunia nanti?” katanya.
Jelas Limpar, kebimbangan utamanya adalah sekiranya Ronaldo merosakkan reputasi hebat yang dibina sepanjang menyarung jersi kelab gergasi seperti Manchester United, Real Madrid dan Juventus.
Tambahnya, sasaran Ronaldo untuk mencapai rekod bersejarah 1,000 gol dalam karier sepatutnya menjadi isyarat terakhir untuk beliau meninggalkan dunia bola sepak profesional.


