
LENGGONG – Usaha membawa pulang rangka manusia purba wanita berusia lebih 8,000 tahun, dikenali sebagai ‘Perak Woman’, dilihat mampu melonjakkan lagi kedudukan Lenggong sebagai destinasi pelancongan warisan bertaraf dunia.
Ahli Parlimen Lenggong, Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah itu bukan sahaja memperkasa nilai sejarah negara, malah berpotensi menarik lebih ramai pelancong ke kawasan yang kaya dengan khazanah arkeologi.
Menurut beliau, kejayaan membawa pulang rangka ‘Perak Man’ sebelum ini telah terbukti memberi impak positif kepada sektor pelancongan setempat.
“Apabila ‘Perak Man’ dipamerkan di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong, jumlah kehadiran pelancong meningkat dengan ketara. Justeru, kita berharap ‘Perak Woman’ turut dapat dibawa pulang untuk dipamerkan di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pembukaan Semula Galeri Arkeologi Lembah Lenggong dan pelancaran duit syiling peringatan Tapak Warisan Dunia Malaysia, di Muzium Arkeologi Lembah Lenggong, baru-baru ini.
Majlis tersebut disempurnakan Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Untuk rekod, rangka ‘Perak Man’ berusia kira-kira 11,000 tahun yang ditemui pada 1991 telah dibawa pulang ke Lenggong pada Julai 2025 selepas disimpan di Muzium Negara, sebelum dipamerkan semula di galeri berkenaan.
Sementara itu, ‘Perak Woman’ yang ditemui pada 2004 di Gua Teluk Kelawar dipercayai meninggal dunia pada usia sekitar 40 tahun, dengan ketinggian kira-kira 148 sentimeter.
Sekiranya berjaya direalisasikan, kepulangan ‘Perak Woman’ dijangka melengkapkan naratif sejarah manusia prasejarah di Lenggong, sekali gus memperkukuh daya tarikan kawasan itu sebagai antara tapak warisan terpenting negara.





