PUTRAJAYA – Kerajaan akan meneliti mekanisme memanfaatkan sistem MyKasih serta penggunaan MyKad bagi tujuan penyaluran subsidi, termasuk melibatkan subsidi diesel kepada rakyat Malaysia.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu akan diteliti oleh Kementerian Kewangan (MoF) sebelum dibawa semula kepada Jemaah Menteri untuk diputuskan dan dimuktamadkan.
“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membincangkan beberapa perkara susulan kepada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang berlangsung semalam dan beberapa ikhtiar yang akan disusuli termasuk apa yang diumumkan baru-baru ini oleh Menteri Kewangan II.
“Ia mengenai memanfaatkan sistem MyKasih dan penggunaan MyKad bagi tujuan pemberian subsidi termasuk bagi diesel untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Hari ini, media melaporkan bahawa Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan sedang meneliti kemungkinan memperluaskan mekanisme penggunaan MyKad dalam sistem subsidi bersasar kepada diesel susulan kejayaan pelaksanaan program BUDI95 bagi petrol RON95.
Langkah berkenaan dilihat sebagai usaha memperkemas penyampaian subsidi selain mengurangkan ketirisan, namun memerlukan penelitian rapi dari segi aspek logistik, penggunaan serta kesiapsiagaan sistem di seluruh negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri turut mengambil maklum beberapa isu yang dihadapi golongan nelayan.
Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diminta meneliti serta menyusuli perkara itu dengan beberapa tindakan, mengambil kira perbezaan antara harga diesel bersubsidi dengan pulangan hasil yang diperoleh nelayan.
“Ia mengakibatkan aktiviti menangkap ikan terutama di kawasan pesisir pantai dan laut dalam terkesan.
“Untuk maklumat lanjut, kita akan ikuti kelak apa-apa kenyataan terbaharu daripada pihak KPKM” katanya.




