PUTRAJAYA – Kerajaan menafikan dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Malaysia tiada alasan kukuh untuk menaikkan harga minyak kerana negara tidak terlibat dengan sekatan Iran di Selat Hormuz.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kenyataan itu tidak tepat kerana kenaikan harga bahan api dipengaruhi situasi pasaran global dan berlaku di banyak negara, bukan sahaja di Malaysia.
“Saya tidak pasti sama ada beliau (Abdul Hadi) diberikan maklumat yang tepat. Harga diesel di Thailand sekarang jauh lebih tinggi berbanding harga diesel di negara kita, sebagai contoh.
“Namun, tidak ada negara, termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang tidak terpaksa menaikkan harga minyak dalam negara mereka,” katanya ketika sidang media mingguan di sini, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, pihak kerajaan telah memberikan taklimat menyeluruh kepada semua Menteri Besar dan Ketua Menteri, termasuk wakil dari Sabah dan Sarawak, bagi memastikan setiap pihak memahami implikasi kenaikan harga minyak.
Jelasnya, daripada empat wakil kerajaan negeri pembangkang, hanya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang mengemukakan soalan mengenai kenaikan harga minyak.
“Hakikatnya, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah memberikan semua jawapan melalui wakil yang hadir, termasuk Menteri Besar yang juga merupakan Ahli Parlimen.
“Justeru, saya kesal dengan kenyataan beliau. Mungkin lebih wajar Ahli Parlimen Marang meminta Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) membangkitkan persoalan tersebut dalam mesyuarat antara Perdana Menteri dan para Menteri Besar serta Ketua Menteri. Malangnya, perkara itu tidak berlaku. Saya menyaksikannya sendiri,” katanya.
Hari ini, Abdul Hadi dalam kenyataannya menerusi Minda Presiden mendakwa tiada alasan munasabah untuk menaikkan harga minyak kerana Malaysia tidak terlibat dengan sekatan Iran di Selat Hormuz.
Beliau berkata, alasan geopolitik yang dikemukakan kerajaan tidak munasabah memandangkan Malaysia mempunyai sumber minyak dan gas sendiri serta menjalin hubungan dengan negara Islam yang kaya dengan sumber tenaga.
