
KUALA LUMPUR – Tan Sri Mohd Hassan Marican dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menyelaras usaha kerajaan menangani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Hassan yang juga Ketua Badan Penasihat Khas Menteri Kewangan akan meneliti tindakan yang perlu diambil setiap hari, selain mengumpul maklum balas berkaitan isu Asia Barat.
“PPPK ini pula mempunyai sekretariat yang dipengerusikan oleh Penasihat Kanan bagi Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hassan. Dua struktur ini akan membantu MTEN yang sekarang bersidang setiap minggu untuk menyelaras maklumat secara harian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama mengekang aktiviti penipuan (scam) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), di sini, hari ini.
Fahmi menjelaskan tugas pasukan yang dipimpin Hassan tidak bertindih dengan jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang berperanan meneliti perkembangan ekonomi semasa susulan konflik berkenaan.
“Apa yang penting usaha kita ialah pertama, secara keseluruhannya mengenai bekalan, bukan sahaja bahan api, bahan bakar, tenaga bagi negara kita kekal terjamin untuk bulan-bulan yang akan datang, tapi juga bekalan makanan.
“Pada masa yang sama juga untuk memastikan harga barang terkawal dan aktiviti menyeludup atau menyeleweng bahan api, bahan makanan, dapat dikekang,” katanya.
Sejak 28 Februari lalu, Israel dan Amerika Syarikat (AS) melaksanakan operasi ketenteraan terhadap Iran yang mengakibatkan ribuan nyawa terkorban. Tehran kemudian bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Israel serta pangkalan AS di beberapa negara Arab.





