
SHAH ALAM – Pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bermula pada 15 April ini bukan peluang untuk ‘bersenang-lenang’ dan mengambil mudah terhadap tanggungjawab.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, walaupun di rumah, penjawat awam tetap perlu melaksanakan kerja mengikut peraturan ditetapkan dan dalam masa sama dipantau oleh ketua jabatan masing-masing.
“Jangan salah faham, BDR bukan bermaksud baring duduk rehat atau membeli-belah di pasar raya. Output dan produktiviti mesti sama kerana pegawai yang melaksanakan BDR perlu mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas dan ditetapkan lebih awal,” katanya ketika menyampaikan Ucaptama Taat Setia Madani, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Shamsul Azri berkata, BDR merupakan sebahagian daripada reformasi perkhidmatan awam yang memberi penekanan kepada pencapaian hasil kerja, bukan sekadar kehadiran fizikal di pejabat semata-mata.
Menurut beliau, dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global, langkah penjimatan perlu dilaksanakan di semua peringkat termasuk pejabat kerajaan dengan mengurangkan pembaziran seperti penggunaan elektrik, penganjuran mesyuarat fizikal serta lawatan ke luar negara yang tidak perlu.
“Mesyuarat boleh dilaksanakan secara dalam talian dan penggunaan kemudahan perlu dioptimumkan kerana ia tanggungjawab bersama.
“Dalam era media sosial, kita perlu menjadi ejen penyampai maklumat yang benar dan bukan penyebar fitnah,” ujarnya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) mulai 15 April ini sebagai langkah awal menangani kesan kos pengangkutan akibat kenaikan harga minyak.
Ia melibatkan kementerian, agensi serta badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan. Namun dikecualikan adalah sektor pendidikan, pertahanan dan kesihatan.









