Akta 872 jadikan Malaysia ke hadapan merangka perlindungan pekerja gig

PUTRAJAYA – Penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) merupakan langkah progresif dalam memperkukuh perlindungan pekerja dalam ekonomi gig selain, memastikan gologan itu tidak lagi berada dalam kekosongan perlindungan undang-undang, selaras dengan perubahan landskap pekerjaan digital masa kini.

Setiausaha Agung Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, langkah itu signifikan memandangkan sehingga kini di peringkat antarabangsa, termasuk di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), belum wujud satu konvensyen khusus yang mengawal selia pekerja gig secara menyeluruh.

Sehubungan itu, beliau berpandangan, pendekatan Malaysia ini meletakkan negara sebagai antara yang ke hadapan dalam membentuk kerangka perlindungan bagi ekonomi gig serta membuktikan kerajaan berani dan komitmen dalam memperkenalkan undang-undang tersebut.

“Akta itu menyediakan asas perlindungan amat diperlukan, termasuk ketelusan dalam perjanjian perkhidmatan, kepastian terhadap kadar bayaran, serta akses kepada mekanisme penyelesaian pertikaian yang lebih tersusun melalui Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia dan Tribunal Pekerja Gig.

“Selain itu, perlindungan keselamatan sosial melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta larangan terhadap diskriminasi dan penamatan tanpa sebab munasabah merupakan elemen penting yang mengangkat martabat pekerja gig sebagai sebahagian daripada tenaga kerja negara.

“Akta ini juga dijangka memberi manfaat kepada lebih 1.6 juta pekerja gig di Malaysia, sekali gus mencerminkan komitmen negara dalam membangunkan ekosistem pekerjaan yang lebih adil dan inklusif,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.

Terdahulu, Ramanan memaklumkan, Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang bertujuan melindungi pekerja gig secara komprehensif, telah berkuat kuasa mulai Selasa.

Beliau berkata, akta itu memberi manfaat kepada 1.64 juta individu yang terbabit dalam ekonomi gig di Malaysia melalui perlindungan hak pekerja, ketelusan perjanjian, mekanisme penyelesaian pertikaian yang jelas serta perlindungan keselamatan sosial.

Mengulas lanjut, Mohd Effendy berkata, pihaknya menyambut baik pendekatan tripartit melalui penubuhan Majlis Perundingan Gig yang menghimpunkan wakil kerajaan, pekerja dan entiti kontrak bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan kadar pendapatan minimum, standard kerja serta dasar berkaitan sektor gig.

Beliau berpandangan, Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) juga dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan tadbir urus sektor ini dilaksanakan secara lebih tersusun, menyeluruh dan berkesan.

“Walau bagaimanapun, penguatkuasaan Akta ini perlu disusuli dengan libat urus yang berterusan dan bermakna bersama semua pihak berkepentingan, khususnya wakil pekerja dan kesatuan sekerja.

“Penetapan kadar pendapatan minimum perlu dilaksanakan secara telus, berasaskan kos sara hidup semasa serta mengambil kira realiti dan risiko pekerjaan gig  selain, penguatkuasaan agensi berkaitan seperti Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta PERKESO hendaklah dilaksanakan secara konsisten, telus dan berintegriti bagi memastikan pematuhan sebenar di peringkat lapangan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Effendy turut menekankan kepentingan kesedaran dalam kalangan pekerja gig dan penyedia platform, pelaksanaan yang berterusan serta penguatkuasaan yang konsisten adalah amat kritikal bagi memastikan objektif akta itu benar tercapai.

“Tanpa elemen-elemen ini, perlindungan yang diperuntukkan berisiko tidak memberi impak sebenar kepada pekerja di peringkat operasi. Dalam konteks realiti pekerjaan gig masa kini, UNI-MLC juga ingin menegaskan bahawa skop perlindungan perlu diperluaskan melangkaui aspek keselamatan sosial semata-mata.

“Terdapat kategori pekerja gig seperti penjaga kanak-kanak (babysitter), tukang urut, serta penyedia perkhidmatan penjagaan dan kesihatan yang menggunakan platform digital, yang terdedah kepada risiko keselamatan yang lebih tinggi termasuk gangguan seksual, ancaman keselamatan fizikal serta penipuan (scam),” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Effendy berkata, perlindungan di bawah akta itu perlu turut mengambil kira dimensi hak asasi manusia, termasuk perlindungan daripada diskriminasi, gangguan, eksploitasi serta jaminan keselamatan semasa menjalankan perkhidmatan.

Menurut beliau, mekanisme perlindungan yang lebih komprehensif, termasuk garis panduan keselamatan, sistem pengesahan pelanggan serta saluran aduan responsif dan berkesan, adalah penting bagi memastikan pekerja gig tidak terdedah kepada risiko yang tidak sepatutnya.

“UNI-MLC turut menegaskan bahawa konsep fleksibiliti dalam ekonomi gig tidak boleh disalah tafsir sehingga menjejaskan hak asas pekerja. Fleksibiliti tidak seharusnya menjadi alasan untuk memindahkan risiko sepenuhnya kepada pekerja tanpa perlindungan yang sewajarnya.

“Oleh itu, keseimbangan antara fleksibiliti dan perlindungan perlu terus diperkukuh melalui pelaksanaan dasar yang adil dan berkesan. Akta Pekerja Gig 2025 sebagai satu titik permulaan yang penting dalam reformasi perlindungan pekerja di Malaysia, namun bukan satu penyelesaian muktamad.

“Kejayaan sebenar Akta ini bergantung kepada pelaksanaan yang berkesan, komitmen semua pihak serta keterlibatan aktif pekerja dalam proses perundingan dan penambahbaikan dasar. UNI-MLC akan terus memainkan peranan aktif dalam memastikan suara pekerja gig diwakili secara efektif,

“Kita akan memantau pelaksanaan Akta ini secara berterusan, serta mengemukakan cadangan penambahbaikan dari semasa ke semasa demi memastikan pembangunan ekonomi gig di Malaysia adalah adil, inklusif dan mampan,” katanya.

Related Posts

Krisis semasa tuntut perubahan struktur ekonomi

PUTRAJAYA – Kerajaan melihat krisis global semasa sebagai pemangkin untuk memperkukuh struktur ekonomi negara dengan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi bernilai tinggi, peralihan tenaga serta pendekatan lebih menyeluruh dalam penyaluran…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Harga bahan api naik minggu ini, RON95 tanpa subsidi cecah RM4.07

KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel di Semenanjung Malaysia meningkat lagi bagi tempoh 21 hingga 27 Mei ini susulan pelarasan berdasarkan Mekanisme Harga Automatik…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Wanita PKR desak 6 ahli Parlimen keluar parti atau berdepan tindakan disiplin

Wanita PKR desak 6 ahli Parlimen keluar parti atau berdepan tindakan disiplin

Ini bukan soal politik semata-mata

Ini bukan soal politik semata-mata

TTM sasar pengiktirafan konservasi marin IUCN Green List

TTM sasar pengiktirafan konservasi marin IUCN Green List

Dua warga Indonesia tinggal lebih masa ditahan imigresen Perlis

Dua warga Indonesia tinggal lebih masa ditahan imigresen Perlis

Premis tanpa lesen simpan 1.2 tan tepung gandum diserbu

Premis tanpa lesen simpan 1.2 tan tepung gandum diserbu

Parti baharu kerana terdesak? PKR Johor persoal agenda politik Rafizi

Parti baharu kerana terdesak? PKR Johor persoal agenda politik Rafizi